BAHAGIAN Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) menubuhkan Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Kanun Keseksaan [Akta 574], Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan Akta Keterangan [Akta 56].
Menurut BHEUU JPM, penubuhan jawatankuasa ini adalah satu langkah strategik untuk memastikan sistem perundangan jenayah di Malaysia kekal relevan, berkesan dan berteraskan keadilan dalam menghadapi cabaran semasa, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan teknologi dan perubahan sosial.
“Jawatankuasa ini akan menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan yang lapuk atau tidak lagi sesuai dengan realiti semasa dan selanjutnya mencadangkan pembaharuan kepada undang-undang tersebut.
“Selain itu, Jawatankuasa ini turut akan mengkaji dan mencadangkan pembaharuan undang-undang untuk meningkatkan kecekapan sistem keadilan jenayah bagi memastikan perbicaraan yang adil dapat dijalankan. Kajian ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan melalui tiga fasa yang telah ditetapkan.
“Ia selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk memperkukuh dan memodenkan sistem perundangan jenayah di Malaysia,,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, bagi memperkukuh kajian ini, satu Jawatankuasa Ad Hoc turut dibentuk, terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang perundangan, penguatkuasaan, teknologi dan masyarakat sivil.
“Jawatankuasa Ad Hoc ini akan memberi input teknikal dan strategik dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap cadangan adalah menyeluruh dan sejajar dengan keperluan semasa.
“Pengerusi, ahli jawatankuasa dan ahli Jawatankuasa Ad Hoc dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Penubuhan Jawatankuasa dan Jawatankuasa Ad Hoc ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan sistem perundangan jenayah negara terus maju dan mampu menangani cabaran baharu.
“Hasil kajian dan cadangan yang bakal dikemukakan akan menjadi asas penting dalam memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan menjamin hak asasi individu dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia,” katanya.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal, manakala Timbalan Pengerusinya ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ravinthran N Paramaguru dan turut dianggotai 25 ahli, termasuk hakim Mahkamah Rayuan, pensyarah serta pengamal undang-undang bagi memastikan kajian dan pembaharuan undang-undang dilakukan secara menyeluruh. – WILAYAHKU