Berita

Jawatankuasa bebas ditubuhkan cegah penyalahgunaan kuasa dalam NAFAS

- Diterbit 5 Februari 2025 2:51 PM MYT

SEBUAH jawatankuasa khas yang bebas dan bertangggungjawab ditubuhkan bagi memastikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dapat dipulihkan serta berfungsi mengikut objektif asalnya.

Ini susulan NAFAS telah digantung perlembagaannya berkuat kuasa 1 November lalu ekoran siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, hala tuju NAFAS juga melibatkan pelan perniagaan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang selain memastikannya tidak terlalu bergantung kepada projek pembekalan baja daripada kerajaan.

Katanya, selain daripada siasatan yang dilaksanakan, Pendaftar juga telah menggariskan beberapa strategi pembaharuan dalam menstruktur semula NAFAS.

“Justeru, terdapat lapan strategi dan hala tuju dalam merangka penambahbaikan NAFAS. Pertamanya penambahbaikan tatakelola NAFAS melibatkan pindaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983.

“Ini ke arah menambah baik komposisi dan tatakelola Ahli Jemaah Pengarah bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan fungsi antara Pengurusan dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS serta menstruktur dan memperkasa peranan Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat subsidiari NAFAS,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) bersekali dengan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai strategi pembaharuan menyeluruh yang telah digariskan kementerian untuk melindungi reputasi dan integriti NAFAS.

Jelasnya, strategi kedua adalah penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus mengikut Skim Perkhidmatan Personel NAFAS yang diluluskan oleh Pendaftar.

NAFAS juga katanya, perlu menyusun semula kakitangan sedia ada mengikut bidang keutamaan dalam operasi dan perniagaan NAFAS manakala kawalan dan had kuasa kakitangan NAFAS akan ditetapkan dalam dokumen Limit of Authority (LoA).

Ketiga jelasnya, penstrukturan semula syarikat subsidiari NAFAS melalui proses penggabungan (merger) bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos dan melaksanakan proses penutupan (winding up) bagi mana-mana syarikat yang tidak viable serta menjadi liabiliti kepada akaun kumpulan NAFAS.

“Melalui strategi keempat, audit pengurusan dan pemantauan berterusan secara berjadual dilaksanakan untuk memastikan ketelusan dalam urusan kewangan dan keputusan pentadbiran.

“Kelima, pengukuhan mekanisme semak dan imbang melalui penubuhan jawatankuasa khas yang bebas dan bertanggungjawab mengawasi keputusan penting serta mencegah penyalahgunaan kuasa.

“Dalam strategi keenam, penguatkuasaan Kod Etika dan Integriti bagi memastikan semua Ahli Jemaah Pengarah dan kakitangan mematuhi standard integriti yang tinggi. Ahli Jemaah Pengarah dan kakitangan diwajibkan menghadiri latihan etika, tadbir urus baik dan kesedaran undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, strategi seterusnya adalah mempelbagaikan sumber pendapatan NAFAS dengan melaksanakan kajian semula perniagaan dan projek semasa bagi memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor pembekalan baja.

“Strategi terakhir, pemulihan kepercayaan awam melalui kempen kesedaran awam bagi memulihkan imej NAFAS sebagai organisasi yang komited kepada peladang serta pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kementerian bertekad untuk memperkukuh tadbir urus NAFAS serta meningkatkan kecekapan operasi melalui penambahbaikan berterusan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas