Berita

JAS, PUSPAKOM jalin kerjasama perkasa pemuliharaan alam sekitar

SEKITAR Majlis Menandatangani MoU antara JAS dan PUSPAKOM hari ini.
- Diterbit 23 Januari 2024 6:18 PM MYT

JABATAN Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bekerjasama dalam pemuliharaan alam sekitar melalui pelaksanaan program penguatkuasaan dan kesedaran alam sekitar.

Menurut Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, kedua-dua pihak melalui memorandum persefahaman (MoU) tersebut bersetuju dengan skop digariskan iaitu PUSPAKOM sebagai kemudahan yang dilulus (KYDL) dan disijilkan oleh JAS, bertanggungjawab membekal, melaksana serta menyempurnakan kepada pemunya kenderaan seperti diarahkan oleh kerajaan untuk tujuan pengujian semula seperti ditetapkan.

“Ujian yang digariskan dalam MoU berkenaan ialah ujian pelepasan asap daripada kenderaan berenjin diesel, ujian pelepasan gas pencemar CO dan HC daripada kenderaan berenjin petrol dan ujian pelepasan gas pencemar CO daripada enjin motosikal.

“Sepanjang tempoh perjanjian dengan JAS dari 2014 hingga 2023, lebih 20,000 pemeriksaan pelepasan asap atau gas telah dijalankan oleh PUSPAKOM melibatkan kenderaan berenjin petrol dan diesel termasuklah ujian semula kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan kenderaan itu adalah bagi memastikan pematuhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan pengguna kenderaan komersial, persendirian, industri dan masyarakat awam untuk sentiasa memastikan kenderaan masing-masing diselenggara secara berkala bagi mengelakkan pelepasan asap berlebihan yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

“Kami ingin menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” ujar beliau MoU yang dimeterai untuk tempoh lima tahun itu merupakan kerjasama kali ketiga antara kerajaan Malaysia dengan PUSPAKOM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas