Berita

Jangkaan luruan monsun kuat pada 9 hingga 13 Januari

- Diterbit 6 Januari 2025 3:35 PM MYT

LURUAN monsun kuat dijangka memasuki rantau negara bermula 9 Januari dan dijangka berterusan sehingga 13 Januari depan, berdasarkan analisa terhadap model ramalan cuaca terkini.

Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia) menerusi kenyataan dikeluarkan, berkata keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur dan selatan semenanjung dalam tempoh berkenaan.

“Kawasan barat semenanjung juga berisiko mengalami hujan berterusan sepanjang tempoh itu.

“Berikutan daripada luruan monsun kuat ini juga, perairan Laut China Selatan dijangka mengalami angin kencang dan laut bergelora.

“Keadaan ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan laut. Kenaikan paras air laut turut dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” ujar kenyataan itu.

MET Malaysia juga sentiasa memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan sebaik sahaja output model-model ramalan cuaca mencapai tahap keyakinan yang tinggi.

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia.

Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas