KINI bukanlah masa yang terbaik untuk menunding jari dalam mencari kesalahan orang lain dan harus terus fokus dengan agenda utama iaitu memutuskan rantaian penyebaran COVID-19.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan dalam memutuskan rantaian COVID-19 dan tidak hanya menunding jari terhadap pihak yang lain.
“Semuanya bermula daripada kita dahulu dan jangan kita menunding jari mencari kesalahan orang lain jika kita sendiri tidak mahu berubah demi keselamatan dan kesejahteraan negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ujarnya kini merupakan masa yang terbaik dalam memutuskan rantaian COVID-19 dan banyak penambahbaikan telah dilakukan berdasarkan pengalaman Lockdown 1.0 sebelum ini.
Armand berkata Lockdown 2.0 adalah berbeza kerana pada ketika ini negara sudah menggerakkan Program Vaksinasi Kebangsaan yang memberikan kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk bergerak terutama sektor servis (keperluan).
Jelasnya lagi kelonggaran diberikan adalah bagi menggerakkan ekonomi negara.
“Atas dasar program vaksin kebangsaan yang sedang dilaksanakan, kelonggaran diberikan pada beberapa sektor ekonomi (keperluan) untuk bergerak seiring bagi menggerakkan ekonomi dalam negara.
“Ianya agar ekonomi negara tidak terus terhenti seterusnya merencatkan kenaikan KDNK Negara yang perlu dikawal.
“Mengenai pembukaan kilang Calsberg, pihak MITI khususnya Azmin Ali perlu berikan penjelasan tentang mengapa kelulusan diberikan kepada kilang tersebut untuk terus beroperasi,” jelasnya mengenai sebuah kilang minuman keras yang dibenar beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh kini.
Berhubung dengan program vaksinasi, beliau berkata negara kini mencapai 100,000 orang sehari diberikan vaksinasi dan akan terus dipertingkatkan serta kini sudah dibuka ruang dan peluang kerjasama bersama sektor swasta terutama klinik-klinik swasta.
Dalam pada itu, Armand juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk sama-sama bertanggungjawab seiring dengan pihak kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19.
“Kini masa kita sama-sama harus bertanggungjawab seiring dengan pihak kerajaan untuk kita putuskan rantaian penyebaran COVID-19, jika kita tidak jujur dan tidak mahu turut serta bersama majoriti rakyat Malaysia ini hanya akan membuat negara kita terus dalam situasi masalah COVID-19,” tegasnya lagi. -WILAYAHKU – DIANA AMIR