BARU-BARU ini netizen memuji pelakon popular, Emma Maembong antara artis yang rajin mencari rezeki selain berlakon.
Pelakon jelita ini dilihat sering melakukan paid review atau caj pengiklanan produk sepertimana rakan artis lain sebagai pendapatan tambahan.
Ia sekali gus memberi inspirasi kepada anak muda khususnya untuk mencari pendapatan sampingan untuk dijadikan simpanan masa depan.
“Seiring peredaran zaman, pelbagai platform dicipta untuk dimanfaatkan. Golongan penggiat seni atau artis juga tidak terkecuali untuk menjana pendapatan.
“Dengan caj yang berpatutan, dalam masa yang sama, saya buat review untuk membantu masyarakat khususnya para peniaga mempromosi bisnes mereka.
“Kiranya selebriti dan peniaga terutamanya yang menjalankan bisnes kecil, kami saling membantu dan memerlukan,” katanya.
Emma juga menyeru anak-anak muda agar kreatif dalam mencari pendapatan menerusi kelebihan masing-masing.
“Setiap orang mengimpikan kehidupan hari tua yang aman dan sejahtera. Sama ada anda sakit atau sihat, persediaan perlu ada kerana kita tak tahu apa yang akan berlaku.
“Mungkin ada masyarakat di luar sana, tidak cukup untuk berharap kepada gaji tetap, jadi bolehlah cuba lakukan sesuatu sebagai pendapatan sampingan.
“Bukan untuk orang lain, tetapi ia berbaloi untuk anda dan keluarga. Kata orang, kena beringat sebelum terjadi apa-apa,” tambahnya. – WILAYAHKU