Berita

Jalan Masjid India selamat dikunjungi

- Diterbit 11 September 2024 11:19 AM MYT

HASIL Mesyuarat Taskforce Insiden Tanah Jerlus Masjid India yang diadakan semalam mendapati bahawa bangunan dan kawasan Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan berdasarkan laporan kesemua agensi terlibat didapati bahawa kejadian tanah jerlus adalah bersifat setempat.

“Merujuk kepada maklumat geologi dan rekod penyiasatan tanah sedia ada, lokasi insiden tanah jerlus terletak atas formasi Kenny Hills dan secara amnya terdiri daripada selang lapis batuan schist, phyllite dan quartzite,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mesyuarat Taskforce Insiden Tanah Jerlus Masjid India dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Mohamad Hamim, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Selain itu, turut terlibat bersama ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).

Tambahnya, pihak DBKL kini sedang mengecilkan kawasan ‘hoarding’ atau dinding adang di tapak kejadian di mana sebelum ini kawasan tersebut adalah sepanjang 160 meter bermula dari Wisma Yakin hingga Pondok Polis Jalan Masjid India.

“Kawasan hoarding yang baharu akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dari susur masuk tempat letak kereta bawah tanah Wisma Yakin sehingga simpang Jalan Masjid India/Lorong Bunus 1.

“Di kawasan mendapan kedua iaitu di hadapan Pondok Polis Masjid India dan sebahagian Lorong Tuanku Abdul Rahman 3,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas