Berita

Jalan di Kota Damansara dibuka semula

- Diterbit 15 Oktober 2020 2:21 AM MYT

TIGA jalan di Kota Damansara yang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibuka semula untuk kemudahan orang ramai.

Jalan yang akan dibuka kembali itu adalah Jalan Persiaran Mahogani, Seksyen 9; Jalan Persiaran Jati, Seksyen 8 serta Jalan Persiaran Sungai Buloh dan pembukaannya berkuat kuasa malam ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pembukaan semula jalan ini dibuat bagi memberi kemudahan kepada rakyat dan juga petugas barisan hadapan yang bekerja di lapangan.

“Tindakan ini dilakukan bertujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, pengaturan semula pergerakan petugas barisan hadapan untuk tugas sekatan jalan raya (SJR) dan juga tugas pemantauan di kawasan tumpuan ramai seperti di pasar raya, pasar, pusat komersial dan riadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata polis akan menggerakkan sumber manusia sedia ada ke kawasan PKPB untuk melakukan tugasan seperti rondaan Aberdeen MPV, Op Cantas serta tugas lain yang diperlukan.

Sebelum ini, kerajaan telah mengisytiharkan bahawa PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disebabkan peningkatan kes positif COVID-19 saban hari. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas