Berita

Jalaluddin mohon restu Undang Luak Jelebu

JALALUDDIN ketika mengadap Datuk Undang Luak Jelebu di Balai Undang Luak Jelebu, Kuala Klawang. Foto - NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 6 September 2021 11:54 AM MYT

ADAT yang diwarisi dari zaman berzaman disemat kemas bagi setiap pemimpin yang lahir dari negeri yang terkenal dengan adat perpatih ini untuk memohon restu dan panduan dari Undang Luak Berempat.

Amalan dan upacara khas Menghadap Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, Undang Luak Jelebu yang diwarisi dari pemimpin terdahulu diteruskan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagi menyembah maklum kepada Datuk Maarof Md Rashad mengenai perubahan jawatan yang melibatkan pemimpin dari daerah itu.

Dalam upacara itu, Jalaluddin yang diiringi Setiausaha Bahagian Perbandaran dan Khidmat Teknikal, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Wan Ashbi @ Wan Maheran Leman berkata, tradisi tersebut merupakan adat dan budaya di Daerah Jelebu apabila mempunyai perubahan jawatan dan pelantikan membabitkan pemimpin dari daerah itu.

“Sebagai Ahli Parlimen Jelebu, saya telah memaklumkan kedudukan terkini perkembangan politik di peringkat nasional kepada beliau dan beliau turut berterima kasih kepada pimpinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diatas pengiktirafan kepada wakil rakyat Jelebu diatas pelantikan ini.

“Saya harapkan supaya perkembangan ini menunjukkan hasil yang baik dan melipatgandakan usaha bagi kesejahteraan rakyat terutama bagi diri saya termasuk di tiga Wilayah utama, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta rakyat di dalam kawasan Jelebu,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Menurut Jalaluddin, Undang Luak Jelebu sebagai pemimpin yang amat dihormati turut menzahirkan kesyukuran diatas pengiktirafan terhadap dirinya sebagai Ahli Parlimen Jelebu yang telah diberi mandat dan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Persekutuan.

“Beliau menzahirkan kesyukuran dengan memimpin sendiri bacaan pada penghujung majlis tersebut dan memohon kehadarat Allah supaya semuanya berjalan lancar.

“Beliau turut menasihatkan agar saya sentiasa menjaga tingkah laku, memastikan tindakan yang betul serta mempertingkatkan lagi usaha dan membela rakyat di kawasan ini,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas