JABATAN Kemajuan Islam (JAKIM) bersama agensi di bawahnya akan menggerakkan program dakwah, pembangunan insan serta terapi psikospiritual syarie di peringkat lapangan dalam usaha membantu menangani isu berkaitan kesihatan mental.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata masjid-masjid di bawah pengurusan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarah untuk melipatgandakan program kesedaran berkaitan isu kesihatan mental kepada masyarakat awam.
“Pada masa sama, Program Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti yang dijalankan oleh JAKIM dan JAWI diteruskan dengan aktif kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Na’im, selain JAKIM dan JAWI, agensi lain yang terlibat ialah Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
“Kami mengambil maklum mengenai Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 yang mendedahkan sebanyak sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.
“Menerusi hasil tinjauan berkenaan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), bilangan penduduk yang mengalami kemurungan meningkat dua kali ganda dari 2019 hingga 2023 dengan hampir separuh daripada mereka telah berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri,” ujarnya.
Dalam masa sama, Na’im berkata JPM (Hal Ehwal Agama) memandang isu ini perlu diberikan perhatian oleh semua pihak untuk membantu pihak KKM menangani isu tersebut.
“Kami amat yakin dengan kerjasama strategik semua pihak, ia akan memberikan kekuatan kepada usaha-usaha menangani isu-isu kesihatan mental,” ujar beliau. – WILAYAHKU