Berita

JAKIM adakan pertemuan tertutup dengan tokoh agama

- Diterbit 20 Disember 2024 11:30 AM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan pertemuan secara tertutup dengan tokoh-tokoh agama yang terlibat bagi memahami perspektif mereka dan mencari penyelesaian secara tuntas dan berhemah berhubung kontroversi yang tercetus melibatkan golongan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAKIM juga memantau kandungan yang berkaitan dengan isu agama dan tokoh agamawan khususnya di media sosial

“Ia merupakan langkah penting bagi memastikan penyebaran maklumat berkaitan agama adalah tepat dan tidak mengelirukan dan memecahbelahkan masyarakat.

“Dalam hal ini, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan agensi agama negeri-negeri dan agensi persekutuan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangani penyebaran kandungan yang tidak sesuai atau boleh mencetuskan kontroversi, terutamanya yang melibatkan tokoh agama,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan melalui JAKIM sentiasa memantau penyebaran agama Islam sama ada melalui ceramah, kelas-kelas pengajian di tempat-tempat awam seperti masjid dan surau dan juga di media sosial agar ianya tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Mengurus kontroversi melalui media, terutamanya yang melibatkan isu agama dan tokoh agama, memerlukan pendekatan yang bijaksana dan teliti untuk mengelakkan kekeliruan dan ketegangan dalam
masyarakat.

“JAKIM juga mengadakan pertemuan secara tertutup dengan tokoh-tokoh agama yang terlibat bagi memahami perspektif mereka dan mencari penyelesaian secara tuntas dan berhemah,” katanya.

Menurut Mohd Na’im, JAKIM telah membangunkan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu dan Kod Etika Dakwah sebagai rujukan kepada pendakwah dan masyarakat dalam menyebarkan dakwah sama ada secara ceramah fizikal atau melalui media sosial.

“Selain daripada itu, semua pendakwah / penceramah juga perlu mendapatkan tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri atau Jabatan Mufti Negeri-Negeri sebelum dibenarkan mengajar atau berceramah.

“Pihak berkuasa agama negeri-negeri juga boleh mengambil tindakan terhadap pendakwah tersebut sekiranya didapati menimbulkan kontroversi atau kekeliruan di dalam masyarakat dan tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah,” katanya.

Mohd Na’im berkata semua pendakwah juga disaran berhikmah di dalam menyampaikan dakwah dan menekankan mengenai adab-adab di dalam meraikan perbezaan pendapat perlu diamalkan bagi mengelak sebarang perselisihan pendapat dalam kalangan pendakwah yang boleh membawa perpecahan ummat.

“Syariat telah menggariskan prinsip serta adab bermuzakarah, berdialog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan tersebut perlu berteraskan kepada akal yang sihat, pemikiran yang bernas serta berdebat dengan sebaik-baiknya.

“Kesemua ini bertujuan untuk mencari kebenaran, kebaikan dan manfaat kepada manusia seluruhnya,” katanya.

Tambahnya, masyarakat juga boleh berperanan dalam membendung kontroversi melalui media dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri atau MCMC sekiranya didapati kandungan ceramah mengelirukan masyarakat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas