MENJAGA kebajikan pekerja merupakan antara rahsia syarikat e-hailing‚ MyCar kekal bertahan biarpun berdepan dengan cabaran untuk bersaing dengan syarikat gergasi lain yang ada di negara ini.
Sejak mengambil alih syarikat tersebut pada tahun 2022‚ Ketua Pegawai Eksekutifnya‚ Datuk Noor Sheena Maideen berkata pelbagai cabaran perlu dihadapi memandangkan MyCar satu-satunya syarikat tempatan.
“Terlalu banyak syarikat e-hailing luar yang masuk ke dalam negara untuk kaut keuntungan. Saya terpaksa bersaing untuk terus kekal relevan.
“Untuk itu‚ saya cuba sedaya upaya untuk menjaga kebajikan pemandu kerana rata-ratanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40). Mereka bekerja kais pagi makan pagi‚ kais petang makan petang.
“Sebagai majikan‚ perlu ambil tahu daripada pelbagai segi‚ sudah tentu saya ingin buat yang terbaik. Kerjasama antara satu sama lain juga amat penting‚ syarikat tidak boleh mementingkan diri sendiri dengan mengerah tenaga mereka sesuka hati‚” ujar beliau.
Noor Sheena juga sangat bersyukur MyCar semakin diterima ramai selepas syarikat itu membuka pendaftaran di aplikasi PlayStore.
“Semakin hari semakin ramai datang untuk menjadi pemandu MyCar sekali gus menyertai syarikat ini berikutan kadar caj komisien yang dikenakan adalah sangat rendah iaitu 13 peratus‚” ujarnya yang ditemui pada Pameran Pertanian‚ Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) baru-baru ini.
Tambahnya setakat ini MyCar sudah mempunyai 50‚000 pemandu di seluruh negara.
Berkongsi lanjut‚ Noor Sheena berterima kasih kepada Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu kerana memilih MyCar menjadi kenderaan e-hailing rasmi untuk Program MAHA 2024.
“Pameran MAHA adalah satu program besar yang diadakan dua tahun sekali. Saya sangat bangga dan berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Mohamad Sabu kerana memilih MyCar sebagai kenderaan e-hailing rasmi untuk MAHA 2024.
“Ini merupakan kali ketiga kita menyertai Program MAHA‚ sebanyak 50 kenderaan MyCar telah ditampal pelekat iklan promosi MAHA 2024 dan kali ini kita menampilkan kelainan dengan menyediakan cabutan bertuah kepada pengguna MyCar.
“Hadiah yang disediakan merupakan sebuah motosikal Honda 125 kepada pengguna MyCar selain 100 balang air minuman percuma setiap hari dan 800‚000 kipas percuma kepada para pengunjung‚” katanya. – WILAYAHKU