SETELAH enam tahun hidup sebagai ibu tunggal, akhirnya penyanyi Jaclyn Victor kembali bergelar isteri.
Jaclyn memilih pensyarah bernama Calvin T Samuel sebagai pilihan hatinya.
Berita gembira itu dikongsi penyanyi Shila Amzah menerusi Instagram Story miliknya pada Ahad.
“Akhirnya! Saya tumpang gembira buat Jaclyn,” katanya ringkas.
Majlis pernikahan pasangan ini berlangsung dalam suasana tertutup di sebuah dewan, dihadiri hanya oleh ahli keluarga serta kenalan rapat.
Antara rakan artis yang memeriahkan majlis termasuklah Shila, Datuk Ramli MS, Tomok, Nikki Palikat, Marsha Milan dan Siti Nordiana.
Beberapa selebriti lain yang turut hadir ialah Dina Nadzir, Che Puan Sarimah Ibrahim, Anuar Zain serta Hael Husaini.
Untuk rekod, Jaclyn pernah berkahwin dengan penyanyi dari Amerika Syarikat, Shawn Rivera pada Julai 2014, namun rumah tangga mereka berakhir selepas lima tahun.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Jonah Joshiah Rivera, 10, dan Molly Marguerite Rivera, 8. – WILAYAHKU