Berita

Izuan Kasim hero penduduk Kota Damansara

IZUAN Kasim
- Diterbit 17 Mei 2024 10:00 AM MYT

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Yang Berhormat (YB) Muhammad Izuan Ahmad Kasim mahu semua pihak bekerjasama dalam membangunkan kawasan Kota Damansara menjadi sebuah bandar yang mampan, selamat dan selesa diduduki.

Pelbagai rintangan serta cabaran yang dihadapi beliau dalam merealisasikan impian tersebut agar dapat dinikmati oleh semua warga Kota Damansara.

Malah sepanjang perkhidmatan beliau, pelbagai masalah berjaya ditangani disusuli solusi terbaik buat semua pihak tanpa membebankan penduduk.

Ikuti wawancara eksklusif YB Muhammad Izuan bersama Wartawan Wilayahku, SYED HAZIQUE SYED NOR yang berkongsi harapan serta perancangan beliau sebagai seorang wakil rakyat yang dikagumi ramai.

Apakah cabaran yang dihadapi YB sepanjang berkhidmat sebagai ADUN Kota Damansara?

Menggalas amanah serta tanggungjawab ini bukan satu perkara mudah, sudah tentunya pelbagai cabaran atau permasalahan yang diajukan kepada saya.

Ada di antara penduduk mula meluahkan keresahan mereka kepada saya sejak mula bertanding lagi atau semasa kempen lagi, itu jelas menunjukkan rakyat mahu saya menunjukkan kemampuan demi mencari jalan penyelesaian buat mereka.

Kawasan di sini terbahagi kepada kawasan kampung, semi-urban dan urban dengan campuran kelompok penduduk B40, M40 serta T20.

Sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai ADUN, setiap masalah pada saya ialah masalah besar kerana keselesaan penduduk adalah keutamaan.

Antaranya masalah kerosakan jalan, banjir dan kepadatan penduduk adalah cabaran yang harus saya dan pasukan tangani demi kesejahteraan penduduk.

Malah ada juga permasalahan yang turut berkait dengan pemaju atau syarikat persendirian bersama penduduk yang dapat kita tangani walaupun ia sudah berlanjutan terlalu lama sebelum ini.

Sebagai wakil rakyat, itulah tanggungjawab atau cabaran yang perlu dilaksanakan atau dihadapi demi mencari solusi terbaik tanpa membelakangkan mana-mana pihak yang terlibat.

Apakah fokus pembangunan yang YB laksanakan bagi penduduk di kawasan Kota Damansara?

Fokus utama saya adalah permasalahan serta perbincangan dan pembangunan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Saya ingin memastikan bahawa pembangunan yang ada di kawasan ini terus mampan dan boleh menampung jumlah kepadatan penduduk itu sendiri.

Dalam masa sama, kita tidak mahu penduduk terbeban dengan pembangunan yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas sekali gus mendatangkan pelbagai masalah-masalah lain terutamanya dari segi kesihatan.

Begitu juga dari segi pendidikan, contohnya saya bukan dari keluarga yang senang, namun pelajaran membantu untuk saya berada di tahap ini.

Justeru itu, amat penting bagi saya serta para ibu bapa di kawasan ini untuk terus tanamkan minat belajar kepada kanak-kanak kecil ini kerana mereka adalah masa hadapan negara.

Tidak terkecuali juga kepada mana-mana pelajar lepasan sekolah di mana kita akan beri bantuan sehabis baik untuk mereka terus menyambung pelajaran.

Berapa nilai peruntukan yang diterima YB dan bagaimana YB salurkannya?

Saya menerima kira-kira 900 ribu setahun daripada Kerajaan Negeri dan saya bersama pasukan memastikan kalau boleh tiada satu pun penduduk yang tidak dibantu.

Pecahan wang tersebut saya bahagikan kepada pelajaran, komuniti serta kecemasan. Kita adakan program-program pendidikan, bantu kelengkapan anak-anak yang kurang berkemampuan antaranya dari segi barangan persekolahan dan sebagainya. Selain itu, golongan belia dan warga emas tidak terkecuali dibantu.

Saya juga sering menyumbang untuk program-program komuniti atau kemasyarakatan supaya masyarakat terus menjalinkan hubungan rapat atau dalam erti lain kenali jiran anda.

Kesesakan lalu lintas adalah antara masalah terbesar di sekitar Lembah Klang ini, bagaimana cara YB atasi masalah tersebut?

Perkara yang kita kena terima pada ketika ini adalah negara kita berorientasikan kenderaan. Kita dapat lihat sekurang-kurangnya setiap rumah pasti mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kenderaan.

Disebabkan itu, antara cara yang paling mudah dan berkesan ialah dengan menggunakan pengangkutan awam. Selain itu kerajaan negeri menawarkan van transit atas permintaan (DRT) iaitu RM2 bagi satu perjalanan.

Orang ramai boleh melakukan tempahan dan kenderaan tersebut akan datang mengambil dan menurunkan anda, malah dalam van itu juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), Wi-Fi selain van tersebut juga boleh dijejaki ke mana sahaja ia pergi.

Alhamdulillah, setakat hari ini sejak ia dilancarkan bulan November tahun lepas, ramai penduduk di sini sudah mula menggunakan perkhidmatan itu.

Bagaimana YB menyantuni penduduk dan apakah medium yang digunakan?

Zaman yang serba canggih dan teknologi tinggi ini pelbagai cara boleh digunakan untuk mendekati penduduk.

Sebagai wakil rakyat kita perlu selalu berinteraksi bersama mereka melalui media sosial antaranya dengan memasuki setiap kumpulan komuniti di kawasan tersebut.

Jujur saya katakan segala info lagi mudah dan cepat diterima oleh penduduk-penduduk dan wakil penduduk sedia ada.

Untuk berjumpa setiap seorang itu sememangnya mustahil namun secara tidak langsung media sosial ini juga merapatkan hubungan kami. Mereka tag saya di media sosial bagi sebarang masalah dan saya memaklumkan juga di posting sama sebarang bentuk solusi penyelesaian kepada masalah tersebut.

Apakah harapan YB khas buat penduduk Kota Damansara?

Tidak banyak yang saya mahu selain kerjasama semua pihak dalam membangunkan dan membantu penduduk. Saya tidak mampu lakukan berseorangan kerana ada perkara yang saya terlepas pandang, ia memerlukan kerjasama semua pihak dan ini sangat penting kerana bermanfaat kepada penduduk.

Marilah kita bersama bangunkan bandar Kota Damansara menjadi sebagai sebuah bandar yang mampan, selamat dan juga selesa untuk diduduki. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas