Oleh KU SEMAN KU HUSSEIN
KETIKA ini hampir setiap petang berlaku hujan lebat di banyak kawasan sekitar Kuala Lumpur, Lembah Kelang dan beberapa wilayah lain. Keadaan yang sedemikian mencetuskan kerisauan dalam kalangan orang ramai kerana boleh menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah.
Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mendiami kawasan yang sering berlaku banjir kilat, perasaan bimbang berlakunya kemusnahan harta benda boleh merentap nikmat kehidupan yang sedang dijalani. Banjir kilat boleh menjadikan hidup mereka sentiasa diburu resah.
Sekalipun berlaku dalam jangka masa yang singkat, tetapi kemusnahan akibat banjir kilat tetap besar dan terpaksa menanggung kesan yang berpanjangan. Malah banjir kilat juga menjadi faktor utama kesesakan dan kenderaan ringan kemungkinan ditenggelami air. Kerisauan setiap kali hujan lebat memang ada munasabahnya kerana akhirnya ia melibatkan wang untuk membaiki kenderaan berkenaan.
Semua keadaan di atas disebabkan cuaca. Hujan, panas terik serta ribut dan taufan adalah kesan daripada cuaca. Keadaan cuaca adalah hukum alam yang tidak dapat diubah mengikut keselesaan manusia yang berbagai-bagai ragam dan kehendaknya.
Disebabkan itu, manusialah yang perlu menyesuaikan diri dengan hukum alam yang terzahir pada keadaan cuaca. Disebabkan itu cuaca menjadi satu perkara penting dalam kehidupan manusia, tidak kira di sisi baik dan buruknya. Kedua-duanya perlu diterima dan masa yang sama mencari jalan mengurangkan kesan buruknya.
Maka perkara utama yang perlu dilakukan dalam kehidupan kita adalah memahami hubungan yang akrab antara manusia dan alam dalam kehidupan. Kefahaman itu membuatkan kita berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang merupakan satu isyarat daripada alam.
Secara mudahnya cuaca di negara kita terbahagi kepada dua monsun atau musim. Musim yang pertama disebut Monsun Barat Daya yang selalunya bermula pada akhir Mei dan mengunjur hingga September. Sementara Monsun Timur Laut bermula pada November hingga Mac.
Sekarang kita berada dalam Monsun Timur Laut membawa taburan hujan yang lebat terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, di barat Sarawak dan di kawasan timur Sabah. Keadaan cuaca di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang ketika ini adalah kesan daripada Monsun Barat Daya. Di negeri-negeri pantai timur keadaan cuaca itu disebut sebagai musim tengkujuh.
Sementara Monsun Barat Daya pula relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering dan sedikit hujan. Sebenarnya kesan perubahan cuaca kepada manusia bukan sekadar banjir kilat di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang sahaja, malah lebih besar daripada itu.
Cuaca mengakibatkan kesan yang lebih besar seperti berlakunya tanah runtuh, banjir yang sekali gus memusnahkan kediaman dan kawasan pertanian serta menjadikan keadaan laut bergelora yang boleh menjejaskan kegiatan maritim. Kegiatan menangkap ikan di kawasan pantai timur berkurangan pada musim tengkujuh berbanding musim biasa.
Itulah yang dikatakan hubungan cuaca dengan semua kegiatan manusia di darat dan juga di lautan. Malah tidak boleh mengelakkan diri daripada menerima kesan daripada cuaca. Sama ada hujan lebat, kering-kontang atau lautan yang bergelora, semuanya ada hubungannya dengan kehidupan manusia serta ada buruk dan baiknya.
Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah kalau ahli meteorologi dari Princeton University, Syukuro Manabe dipilih sebagai penerima Hadiah Nobel Fizik 2021. Manabe yang menjadi ahli meteorologi pertama diberikan anugerah tertinggi itu menunjukkan pentingnya penyelidikan dan kajian mengenai kesan cuaca daripada perubahan iklim dan pemanasan global.
Sekalipun begitu, sebelum Hadiah Nobel mengiktiraf ahli meteorologi yang mengkaji mengenai cuaca, nenek moyang kita yang silam telah lama memahami hubungan kehidupan mereka dengan keadaan cuaca. Mereka memahami dan menyesuaikan diri dengan keadaan itu.
Misalnya tanpa teknologi ramalan cuaca seperti sekarang ini, nenek moyang kita sudah bijak membaca isyarat yang dihantar oleh unggas dan mergastua, melihat gigi air di tepi pantai untuk meramal keadaan cuaca dalam beberapa waktu di depan. Tujuannya untuk menyesuaikan kehidupan dengan perubahan musim dan cuaca yang difahami daripada isyarat alam itu.
Orang tua-tua kita sudah lama meletakkan cuaca sebagai faktor penting dalam kehidupan. Walaupun tidak ada teknologi yang boleh meramal keadaan cuaca, mereka arif membaca isyarat daripada alam yang boleh memberikan maklumat tentang keadaan cuaca yang akan berlaku.
Hal itu ada disebut dalam Buku ‘Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu’ yang disusun dan dikaji oleh Profesor Diraja Ungku Aziz. Buku itu menyingkapkan pengamatan tinggi orang Melayu terhadap cuaca. Sekalipun diungkap dalam bentuk pantun, itulah penyataan lisan yang kemudiannya didokumentasikan sebagai khazanah pemikiran.
Pantun-pantun yang dikumpul oleh Ungku Aziz membuktikan kecaknaan generasi silam terhadap cuaca begitu tinggi dan diwariskan kepada generasi hari ini. Pantun yang berkait dengan musim mencerminkan pengetahuan dan pemerhatian generasi silam yang tinggi terhadap cuaca dan alam.
Hubungan antara manusia dan alam tidak terputus walaupun dengan adanya kemajuan teknologi. Cuaca tetap menjadi elemen penting dalam kehidupan dan mengabaikan atau sengaja tidak memahami cuaca adalah sama dengan mengundang bencana.
Ketika ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) secara rutin memberikan ramalan cuaca dengan ketepatan 95 peratus tentang keadaan cuaca dalam sehari atau seminggu akan datang. Kemajuan teknologi ramalan cuaca yang memberikan ketepatan yang tinggi itu adalah satu kemudahan untuk warga zaman ini.
Selari dengan kemajuan teknologi, telefon pintar pula boleh digunakan untuk membuat pemantauan kendiri terhadap perubahan cuaca. Menyedari hakikat hubungan rapat antara manusia dengan alam, ramalan cuaca kini merupakan aspek penting dalam kehidupan.
Memang benar kita tidak berupaya mengalih atau mengurangkan taburan hujan serta memperlahankan kelajuan angin. Sekalipun begitu, kita boleh menyesuaikan kehidupan dengan aturan alam. Misalnya nelayan atau kegiatan maritim tertentu boleh dihentikan apabila diramal akan berlaku ketinggian ombak pada skala yang berbahaya.
Mengambil endah ramalan cuaca bukan sekadar untuk mengangkat kain jemuran. Sebaliknya mempedulikan cuaca menjadi satu disiplin penting dalam kehidupan. Itu adalah tabiat yang seharusnya diamalkan oleh semua. Teknologi ramalan cuaca canggih merupakan satu kelebihan untuk mendapatkan maklumat mengenai cuaca.
Maka pemilihan Syukuro Manabe sebagai penerima Hadiah Nobel Fizik ada signifikannya dengan kita dan sekalian umat manusia di planet bumi. Kita hidup bersama-sama keadaan cuaca yang berubah-ubah perlu cakna pada perubahan musim dan keadaan cuaca semasa.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.