Berita

ISWAMI buka ruang pertukaran nilai jurnalistik Malaysia-Indonesia

- Diterbit 16 Februari 2024 10:25 PM MYT

IKATAN Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) menjadi platform dalam membuka ruang kepada pertukaran nilai-nilai kewartawanan serta meningkatkan potensi kolaborasi antara agensi berita di Malaysia dan Indonesia.

Ketua Pengarang The Jakarta Post Taufiq Rahman berkata pertukaran nilai-nilai kewartawanan seperti idea, budaya kerja dan naratif membabitkan kedua-dua negara serumpun itu perlu diteruskan dalam usaha memperkasakan industri media.

“Ini boleh dilaksanakan melalui pertukaran wartawan, penyunting termasuk juga kandungan khususnya yang menjurus kepada penulisan komentar dan pendapat membabitkan sesebuah negara.

“Perkara terbaik yang boleh kita lakukan ialah menyediakan lebih banyak program pertukaran seperti yang dibuat oleh ISWAMI… Jadi apabila wartawan Malaysia hadir melakukan liputan di Indonesia dan sebaliknya, ini secara tidak langsung akan mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui dalam Program Jejak Serumpun di Ibu Pejabat The Jakarta Post dekat sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu juga dilihat mampu meningkatkan aksesibiliti kepada sumber dan kualiti pelaporan berita dengan adanya penglibatan serta kerjasama agensi berita luar negara.

Setiausaha Agung ISWAMI Malaysia Mohd Shukri Ishak pula berkata ISWAMI kini mempunyai matlamat untuk mewujudkan platform yang lebih besar bagi membawa suara wartawan di peringkat ASEAN.

“ISWAMI melalui kerjasama ANTARA, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita sedia ada sedang dan telah menubuhkan ASEAN Newsroom.

“Setakat ini, ia melibatkan agensi berita rasmi di semua negara ASEAN,” katanya.

Terdahulu, delegasi media ISWAMI Malaysia mengunjungi Ibu Pejabat The Jakarta Post sempena Program Jejak Serumpun.

ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia yang berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun Nusantara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas