ISU rakaman video bualan lucah membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Mohammad Agus Yusoff dan Penolong Pegawai J-Kom, Abdul Wahab Kadir Jilani masih menjadi bualan di media sosial mahu pun dalam kalangan masyarakat.
Malah, beberapa pihak sewenang-wenang menunding jari kepada pihak kerajaan yang dikatakan tidak mampu membendung kakitangan daripada terlibat dengan gejala yang tidak bermoral seperti itu.
Tampil menjawab isu tersebut bagi menjernihkan keadaan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata tuduhan tersebut tidak tepat sama sekali selain tidak berasas memandangkan Agus tidak lagi mempunyai kaitan dengan kerajaan atau jabatan berkenaan.
“Kita ucapkan terima kasih, sekarang individu itu (Mohammad Agus) tidak lagi ada apa-apa kaitan dengan kerajaan atau J-KOM. Penggantian kekosongan jawatan Ketua Pengarah J-KOM akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya belum bercakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) khusus mengenai perkara ini, tetapi saya percaya insya-Allah, langkah-langkah untuk mengisi jawatan itu akan dibuat secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di San Francisco sempena lawatan kerja Perdana Menteri sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30, baru-baru ini.
Terdahulu, Mohammad Agus mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM berkuat kuasa 15 Disember depan.
Beliau bagaimanapun menafikan tindakan peletakan jawatan itu berkait rapat dengan desakan susulan dakwaan prestasi J-KOM yang kurang memuaskan.
Sebaliknya, beliau mendakwa tindakannya itu disebabkan tawaran yang diterima daripada organisasi tempatan dan antarabangsa yang memerlukan khidmatnya.
Mohammad Agus dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan berikutan disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranannya menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.
Diharapkan segala persoalan yang bermain di fikiran setiap yang mengikuti isu ini sudah pun terjawab. Jangan sesuka hati mengaitkan individu tersebut dengan pihak kerajaan.
Rasanya sangat tidak adil menunding jari sebegitu hanya kerana untuk menjadi keyboard warrior atau sebaliknya. Hati-hati dengan fitnah kerana fitnah serta maklumat yang salah akan membina persepsi buruk selain tohmahan.
Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. – WILAYAHKU