Artikel

Isu stokin: Pengajaran setimpal telah diberikan

- Diterbit 19 Julai 2024 10:20 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MAHKAMAH telah menjatuhkan hukuman RM120,000 kepada dua pihak yang terlibat secara langsung dalam kes penghinaan ke atas umat Islam apabila membekal dan menjual stokin yang mempunyai kalimah Allah padanya.

Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan syarikat pembekalnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing didenda RM60,000 oleh mahkamah.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua syarikat mengaku bersalah atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah, pada Mac lalu.

Mahkamah turut memerintahkan supaya denda itu dibayar dalam tempoh tiga hari.

Hakim, Muhamad Anas Mahadzir dalam penghakimannya menegaskan agar syarikat-syarikat tersebut lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat Muslim.

“Saya tidak mahu berdakwah namun mana-mana agama kalau disentuh melibatkan isu sedemikian akan menimbulkan perasaan yang lebih peka.

“Justeru, saya berharap KK Mart dan Xian Jian mengambil iktibar dan lebih bertanggungjawab serta memperketatkan kawalan kualiti masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun hakim membebas dan melepaskan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart, Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui daripada pertuduhan tersebut.

Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan, turut mendapat perintah DNA selepas pihak pendakwa tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas lima individu berkenaan.

Bagi saya kes ini memberikan pengajaran besar kepada kesemua pihak bahawa penghinaan atau tindakan mengguris hati umat Islam tidak akan dibiarkan hatta oleh mahkamah di negara ini.

Denda RM60,000 setiap syarikat yang terlibat adalah satu hukuman yang berat yang pernah diberikan mahkamah. Ini juga merupakan kali pertama pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas perbuatan seumpama ini.

Sebelum ini, sudah pelbagai jenis kesalahan sebegini berlaku. Namun hanya kali ini dan di bawah kerajaan Malaysia MADANI yang bertindak dan dijatuhkan hukuman.

Sebelum ini kecoh, sekumpulan manusia membuat pesta lucah di sebuah pulau di Terengganu. Pihak berkuasa hanya mengenakan denda RM25,000 kepada pihak penganjurnya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris, pemilik resort yang menganjurkan parti liar Aloha akan dikenakan tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

Pemilik resort berkenaan akan dikenakan kompaun maksimum oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM25,000.

“Kami sudah memanggil dan mendengar penjelasan daripada pemilik resort dan didapati mereka melanggar peraturan mengikut seksyen berkenaan.

“Kami turut mendapati pemilik resort itu sudah menganjurkan pesta liar Aloha sejak 10 tahun lalu. Namun berlaku penangguhan penganjuran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021,” katanya.

Mungkin ada yang mempersoalkan, kenapa pemilik syarikat yang terlibat dalam isu stoking ini ditarik balik dakwaan ke atasnya. Saya yakin, ia berlaku berdasarkan siasatan pihak berkuasa ke atas kes ini dan juga representasi yang dibuat mereka kepada Jabatan Peguam Negara. Pendek kata, ia dibuat berdasarkan fakta bukan auta semata-mata.

Apa yang berlaku adalah beberapa pasang stokin ditemui di kedai serbaneka berkenaan dan juga di gudang pembekalnya. Ia berada di celah-celah beribu-ribu pasang stoking yang ada dalam rak jualan dan juga gudang syarikat berkenaan.

Angkara siapakah ini? Mungkin sabotaj.

Sebaik sahaja dikesan, pemilik syarikat telah memohon maaf secara terbuka mengenainya. Selain permohonan maaf yang disiarkan melalui sidang media, pemilik juga menggantung kain rentang di premis mereka bagi menyatakan permohonan maaf tersebut.

Jelas di situ, pemiliknya tidak semestinya bersalah tetapi yang pasti kedai yang dimiliki syarikat dan gudang mereka memiliki stoking berkenaan dan bersalah.

Jadi, kemungkinan besar atas dasar itulah, dakwaan ke atas pemiliknya tidak diteruskan tetapi kedua-dua syarikat terlibat telah didenda RM60,000 setiap satu.

Walaupun dibebaskan, saya yakin individu yang terlibat dalam isu ini mendapat pengajaran yang setimpal mengenainya. Saya yakin, ia dijadikan pengajaran agar kesilapan yang sama tidak berulang.

Sehubungan itu, saya berpendapat, kes ini sudah tamat dan perlu ditutup. Kedai dan gudang yang terlibat telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas mereka.

Jika isu ini dibangkit juga, sudah tentu orang akan membandingkan apa yang berlaku kepada kerajaan sebelum ini. Apakah mereka bertindak sebagaimana kerajaan sekarang bertindak atau pandai bercakap dan menunding jari sahaja.

Jadi, marilah kita sama-sama tutup kes ini, kita terus jalan ke depan. Banyak lagi kes yang menanti dan akan dibahaskan oleh kita semua nanti.

Tulisan ini sekadar pandangan daripada penulis berdasar pemerhatian.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas