Berita

Isu penjualan saham Menara KL: SPRM panggil tiga individu

- Diterbit 29 Disember 2022 2:03 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil tiga individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penjualan saham mencurigakan hak milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan beberapa dokumen daripada pihak berkaitan juga telah diperoleh untuk diteliti.

“SPRM akan menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan siasatan terperinci dan profesional akan dijalankan dari semua sudut berkaitan isu tersebut.

Sebelum ini tular di media sosial isu berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL melalui pegangan saham penuh daripada TM melalui anak syarikatnya, MKLSB kepada syarikat HSB sehingga menimbulkan persoalan orang ramai terhadap keputusan itu.

Selasa lepas, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihaknya memandang serius isu yang dibangkitkan dan sedang meneliti perkara tersebut.

Beliau turut mengesahkan sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada Kementerian Komunikasi dan Digital pada 14 Dis lepas dan akan mendengar taklimat menyeluruh daripada pihak TM pada 3 Jan 2023. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas