ISU pengisytiharan harta oleh para pemimpin yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menjadi perhatian pelbagai pihak.
Malah ia terus diperdebatkan di laman sosial kononnya PMX menyuarakan hal tersebut kerana berdendam dan sengaja mahu mencari salah pihak pembangkang.
Dalam masa yang sama terdapat segelintir pihak yang mendakwa beliau ‘memaksa’ pemimpin lain untuk melakukannya sedangkan beliau sendiri tidak mengisytiharkan harta.
Nampaknya tuduhan yang dilemparkan itu tidak betul sama sekali kerana Anwar sebelum ini sudah pun melakukan pengisytiharan harta miliknya.
Memetik ucapan beliau ketika Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan SMISTA di Bukit Jalil, baru-baru ini, Anwar berkata sebagai perdana menteri beliau sentiasa bersedia pada bila-bila masa jika diminta untuk berbuat demikian.
“Saya, kalau ada (pihak) minta esok (isytihar) harta, esok juga saya buat, koreklah banyak mana pun, baru boleh jadi pemimpin, jadi contoh.
“Jika tidak, apa yang kita nak ajar kepada rakyat kerana antara cara untuk angkat darjat Islam itu ialah dengan tatakelola yang baik.
“Ini (ada pihak) apabila suruh isytihar harta marah, (cakap kerana) dendam, apa dendam? Kalau kamu tak salah, buat apa takut isytihar harta?,” kata beliau lagi.
Sejak dahulu lagi beliau sentiasa konsisten dengan ketegasan bahawa seseorang pemimpin itu harus terbuka untuk mengisytiharkan hartanya agar tidak timbul keraguan dalam kalangan rakyat.
Seharusnya apa yang dilakukan Anwar menjadi ikutan semua pemimpin di pelbagai peringkat kerana seorang pemimpin itu mempunyai amanah yang besar terhadap rakyatnya.
Sebenarnya tidak ada apa yang perlu diselindungkan. Semoga ketegasan serta kejujuran Anwar dalam mengisytiharkan harta akan menjadi amalan terbuka yang berterusan dalam kalangan pemimpin.
Pendirian ini juga jelas membuktikan beliau merupakan seorang Perdana Menteri yang bersikap terbuka dan komited dalam berperang menghapuskan isu rasuah dan penyelewengan ke arah pembangunan Malaysia yang lebih baik.
Isu rasuah merupakan barah yang bukan sahaja mampu melemahkan ekonomi bahkan pentadbiran negara secara keseluruhannya akan turut terjejas disebabkan hal tersebut. – WILAYAHKU