POS Malaysia Berhad memaklumkan pihaknya telah bertindak menyelesaikan isu pakaian seragam rosak yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Dalam hantaran di Facebook, Pos Malaysia Berhad menjelaskan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer telah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan yang terlibat.
“Brewer, dengan rasa rendah diri telah menyampaikan permohonan maaf kepada kakitangan yang terkesan dan ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini.
“Beliau dengan jujur mengakui bahawa respon beliau seharusnya lebih berempati, dan dengan tekad yang kuat, beliau berjanji untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira,” ujar kenyataan itu.
Katanya, isu tersebut telah berjaya diselesaikan sepenuhnya.
“Kami sedang menambah baik proses dalaman kami untuk memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.
“Komitmen ini dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, Pos Malaysia Berhad dengan penuh ikhlas mengakui dan menangani isu yang dibangkitkan baru-baru ini.
Terdahulu, melalui hantaran media sosial baru-baru ini, seorang posmen mengeluh tentang pakaian seragam koyak serta ingin mendapatkan pakaian yang baharu namun maklum balas Brewer terhadap hantaran itu mendapat perhatian warganet. – WILAYAHKU