Berita

Isu MoU: ‘Baru terima draf dah riuh di luar’

- Diterbit 19 September 2024 11:36 AM MYT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak sikap pembangkang yang bertindak ‘membuat riuh di luar’ biarpun memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan yang diterima mereka baru-baru ini masih di peringkat draf.

Untuk itu beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mengimbau kembali situasi ketika mewakili PH dalam rundingan dengan pihak kerajaan ketika Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Katanya, PH ketika itu turut diwakili Anthony Loke, (Allahyarham) Datuk Seri Salahuddin Ayob dan Gobind Singh Deo manakala kerajaan diwakili Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kini Yang Dipertua Negeri Sarawak), Datuk Seri Hamzah Zainudin (kini ketua pembangkang) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Pertamanya pihak kerajaan kemuka draf. PH bincang dalam Majlis Presiden PH. Kemudian PH beri maklum balas.

“Pihak kerajaan meneliti maklum balas PH dan kami duduk berunding mencapai titik temu.

“Proses ini ada tertibnya. Perundingan berlangsung beberapa pusingan. Sehinggalah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi MoU,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Saifuddin berkata, PH memeterai persetujuan tersebut dalam satu majlis di Parlimen dihadiri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketika itu sebagai ketua pembangkang).

“MoU kali ini? Baru terima draf dah riuh kat luar.

“Betul kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kalau pilih nak bercakap dengan media, tak perlulah nak berunding,” tegasnya.

Baru-baru ini Fadillah mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak ketuanya iaitu Hamzah.

Menurut Fadillah, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media. – Metra Syahril/WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas