Berita

Isu libat 3R tidak terlepas tindakan

- Diterbit 19 Julai 2024 9:30 AM MYT

DI laman sosial, netizen meluahkan perasaan marah dan kecewa berkenaan isu kontroversi stoking tertera kalimah Allah yang kecoh sekitar bulan Mac lalu masih belum reda.

Pelbagai komen negatif dilemparkan termasuklah kepada pihak kerajaan yang dikatakan tidak mengambil berat tentang hal tersebut.

Namun isu melibatkan 3R iaitu agama, kaum dan raja ternyata diberi perhatian serta mereka yang terlibat tidak terlepas daripada dikenakan tindakan tegas.

Buktinya, Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan syarikat pembekalnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd, didenda keseluruhan RM120,000 dengan masing-masing perlu membayar RM60,000.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua syarikat mengaku bersalah atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Mahkamah turut memerintahkan supaya denda itu dibayar dalam tempoh tiga hari.

Hakim Mahkamah Seksyen Shah Alam di Negeri Selangor menegaskan syarikat tersebut perlu lebih peka dalam isu melibatkan sensitiviti masyarakat Islam.

“Saya cuma ingin mengingatkan pada masa hadapan, mana-mana agama bila melibatkan isu sedemikian menimbulkan perasaan yang lebih peka.

“KK Mart juga perlu lebih bertanggungjawab, memperketat pengendalian kawalan kualiti untuk tidak membiarkan perkara itu berulang lagi,” tambah hakim itu lagi.

Bagaimanapun Muhamad Anas membebas dan melepaskan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart, Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui  daripada pertuduhan tersebut.

Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan, turut mendapat perintah DNA selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas lima individu berkenaan.

Terdahulu, gambar stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Super Mart di Bandar Sunway, Selangor tular di media sosial pada 13 Mac hingga mencetuskan kritikan, boikot dan insiden keganasan selepas pihak berkuasa menemui produk buatan China itu di premis berkenaan.

Kedua-dua syarikat dan individu-individu terbabit pada 17 Mei lepas telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji pertuduhan terhadap mereka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas