Berita

Isu kos hidup rakyat terus ditangani

ISU penyasaran subsidi diesel masih belum reda
- Diterbit 21 Jun 2024 9:50 AM MYT

PENURUNAN harga telur sebanyak 3 sen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini hangat diperkatakan di media sosial.

Rata-rata warganet mengecam tindakan Anwar kerana menganggap penurunan tersebut tidak memberi kesan kepada pengguna.

Malah rata-ratanya tetap tidak berpuas hati dan menuntut lebih lagi penurunan memandangkan isu penyasaran subsidi diesel masih lagi belum reda.

Segelintirnya bertindak keterlaluan tanpa memikirkan sensitiviti pihak lain dengan menjadikan isu telur ini sebagai bahan jenaka.

Sedangkan mereka perlu tahu penurunan harga telur dilakukan semata-mata mahu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.

Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.

Anwar sebelum ini berkata kerajaan juga telah meminta pengeluar telur untuk menurunkan keuntungan mereka bagi meringankan beban rakyat.

“Kita panggil syarikat-syarikat ini, bincang, berapa untung sebulan. Kita tidak minta mereka berniaga dalam keadaan rugi tapi sekadar mengurangkan untung diperoleh mereka.

“Jika ada cara lain untuk membantu dengan subsidi dan menjimatkan wang saya akan usahakan,” tegas Anwar.

Harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji sudah pun berkuat kuasa.

Sementara harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Labuan juga akan diselaraskan mengikut bahagian dan zon yang diwartakan.

Langkah tersebut selaras dengan perkembangan semasa yang menunjukkan penurunan kos input pengeluaran telur ayam khususnya bahan asas kepada makanan ayam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas