Berita

Isu komen ‘ham’ persenda nabi, Jakim akan panggil Harith Iskander

- Diterbit 23 Januari 2025 7:55 AM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil pelawak Harith Iskander bagi mendapatkan perincian berhubung isu kontroversi dikaitkan dengannya.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya juga telah membuat laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan dan tindakan lanjut kerana telah menimbulkan keresahan umat Islam.

Menurutnya, selain itu Jakim juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan.

“Semua pihak diminta bertenang dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan Jakim tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersendakan ajaran Islam serta menyinggung sensitiviti umat Islam.

“Diharapkan semua pihak dapat mengamalkan sifat hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

KETUA Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee

Minggu lalu, dalam hantaran Facebook, Harith secara berseloroh menyatakan ‘iman tergugat’ apabila beliau mempertimbangkan untuk menikmati ‘Ham Sap Kopi’.

Harith membuat jenaka itu di tengah-tengah kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ didakwa tidak mempunyai perakuan halal dengan produk tersebut dijual di kedai serbaneka di Universiti Malaya.

Tambah Sirajuddin, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan negara haruslah dihormati pada setiap masa.

“Ia bukanlah alasan untuk masyarakat tidak menjalani kehidupan yang harmoni dalam situasi masyarakat berbilang kaum dan agama,” jelasnya

Pada 20 Januari baru-baru ini, selebriti Shahrol Shiro membuat laporan polis berkait hantaran media sosial dimuat naik Harith.

Dalam laporan dikongsi di Facebook, Shahrol juga membuat aduan terhadap seorang individu dikenali Cecelia Yap Song KL.

Shahrol menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, sambil mendakwa hantaran Harith dan komen Cecelia, menghina kesucian Islam dan mempermainkan nama Nabi Muhammad. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas