Selebriti

Isteri Syafiq Farhain hamil anak sulung

||
- Diterbit 26 Januari 2023 9:52 AM MYT

PENYANYI Dan pelakon Syafiq Farhain mengesahkan isteri yang juga pengurusnya Alia Nadia, 29, kini hamil lima bulan.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain AM Salim, 29, mengaku berdebar-debar menanti kelahiran anak sulung yang dijangka lahir pada hujung Mei atau awal Jun ini

“Ya, isteri saya hamil lima bulan. Jadi saya berharap sesiapa yang baca berita ini sama-sama mendoakan semoga anak kami dan juga isteri saya sihat dan selamat.

“Insya-Allah isteri saya akan melahirkan anak kami sekitar Mei atau Jun depan. Jujurnya macam-macam saya fikir apa yang saya buat nanti.

“Tapi kalau tanya saya sudah bersedia atau belum, semestinya kita kena bersedia. Tapi saya bersyukur semuanya berjalan dengan baik dan saya juga tiada masalah alahan atau sebagainya,” katanya kepada Wilayahku.

Syafiq ditemui pada sidang media Jelajah Amal Solidariti Untuk Iskandar Spring di sebuah restoran di Kuala Lumpur, petang tadi.

Iskandar atau nama sebenarnya Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail yang merupakan pemain gitar Spring kini dalam keadaan lumpuh serta turut menderita pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, kesukaran bertutur dan menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang.

Berikutan itu Iskandar yang juga antara pengasas kumpulan Spring itu juga hilang daya upaya kerja dan tiada sumber mata pencarian.

Untuk rekod, Syafiq dan Alia bernikah pada 10 Oktober 2021.

Terdahulu, Syafiq yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan MVM dan Rusa Music pada April tahun lalu, mengaku sudah berkahwin dan tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan mereka.

Dalam perkembangan lain, Syafiq berbesar hati dipilih terlibat untuk membantu Iskandar dalam Jelajah Amal Solidariti Untuk Iskandar Spring yang akan diadakan di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman, pada Ahad ini.

Persembahan percuma ini akan bermula pada jam 2.30 sehingga 6.30 petang.

“Alhamdullillah saya akan menyanyikan empat buah lagu pada Ahad ini. InsyaAllah lagu-lagu yang akan dinyanyikan adalah lagu Iklim. Saya harap jelajah ini akan dapat sambutan dan sokongan ramai untuk kita sama-sama membantu abang Iskandar yang memerlukan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas