Berita

Isteri pernah gadai barang kemas bayar sewa rumah – Azmi Caliph Buskres

Nazirah yang sanggup susah senang bersamanya. |JANGAN lupa beli lagu Tulis di mana-mana platform digital.
- Diterbit 11 Januari 2021 11:04 PM MYT

CINTA suci seorang isteri terbukti apabila sanggup hidup susah bersama suami dalam apa keadaan sekali pun.

Itulah yang dapat digambarkan pengorbanan isteri kepada vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat iaitu Nazirah Muhammad yang pernah melalui saat-saat sukar selepas mereka berumahtangga.

Bercakap soal ketulusan dalam perhubungan suami isteri, Azmi yang bakal meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan bulan depan mengakui dia pernah melalui saat getir bersama isteri.

Pengalaman tersebut telah diabadikan oleh Azmi, 33, menerusi sebuah lagu istimewa buat isterinya berjudul Tulus yang telah dilancarkan pada November tahun lalu.

“Pada awal perkahwinan iaitu dalam tempoh dua ke tiga tahun, isteri banyak bantu. Apatah lagi dia adalah penjawat awam dan mempunyai gaji tetap.

“Isteri juga pernah bergolok gadai dengan menggadaikan barangan kemas termasuk terpaksa menjual hantaran perkahwinan berupa gelang emas. Sebab kami nak buat duit pendahuluan pindah rumah sewa baharu. 

“Jadi, apabila saya sudah ada sedikit duit, barulah saya belikan gelang baharu sebagai ganti dan berikan dia duit untuk tebus semula barangan kemas yang digadai,” katanya. 

AZMI Saat bertuah memiliki isterinya, Nazirah yang sanggup susah senang bersamanya.

Walaupun tidak sesempurna insan lain kerana Azmi dan isteri mengalami cacat penglihatan, namun mereka tetap bahagia dalam melayari bantera perkahwinan. 

Malah sama seperti pasangan lain, Azmi juga pernah membuat kejutan istimewa kepada isteri dengan menghadiahkan bunga dan barangan kemas.

“Isteri saya suka bunga, jadi saya belikan bunga. Saya pernah buat kejutan dengan belikan barang kemas.

“Ketika itu saya masih bekerja sebagai tukang urut dengan pendapatan mencecah RM1,000 sebulan. Jadi, adalah lebih duit sikit,” katanya.

Apa yang pasti juga, kekurangan yang dimiliki bersama pasangan tidak menjadikan mereka kufur nikmat sebaliknya berasakan diberikan kelebihan lain oleh Allah SWT.

“Walaupun dalam keadaan begini, saya tidak berasa ia satu kekurangan atau susah pun. Kalau diberi peluang nak pasangan normal atau macam saya, saya nak yang sama macam saya.

“Sebab kami saling memahami selain mengetahui kekuatan dan kekurangan masing-masing.

“Kalau kahwin dengan isteri normal, saya pasti tak dapat membantu dan menjaganya. Sebab dia kena buat semua sediri malah perlu menguruskan saya pula. 

“Jadi, apabila dapat yang sama, kami buat bersama-sama. Dalam erti kata lain susah dan senang kami bersama,” katanya.

JANGAN lupa beli lagu Tulis di mana-mana platform digital.

Bercerita mengenai video muzik lagu Tulus yang dilancarkan, Azmi berkata dia berlakon sebagai individu celik sebelum mengalami kecelakaan hingga mengakibatkannya buta.

“Jalan cerita daripada pihak pengarah dan syarikat rakaman. Ia bukanlah kisah saya atau ikut jalan cerita lagu. Saya hanya berlakon. 

“Saya menjadi suami dan isteri dilakonkan pelakon lain. Saya menjadi orang celik, kemudian ada insiden saya hilang penglihatan.

“Pada awalnya saya tak percaya dan sering marah, tapi isteri pujuk. Sepanjang tempoh itu, rupanya isteri pun ada sakit. Jadi, saya menyesal dengan tindakan yang dibuat,” jelasnya lagi.

Terbaharu, Universal Music Malaysia dan Valient Music selaku penerbit melancarkan video muzik rasmi lagu Tulus pada 7 Januari lalu di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Single ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes dan YouTube. Jom beli sekarang! – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas