Isteri Arwah ABAM, Puas Hati Tuntutan Faraid
HIDAYAH (gambar Kiri) ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Isteri Arwah ABAM, Puas Hati Tuntutan Faraid

BALU kepada pelawak Allahyarham Abam, Nor Hidayah Mohd Ali,28,  berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, berkenaan tuntutan faraid terhadap diri dan anaknya yang difailkan pada 15 Julai lalu. 

Menurut Hidayah, mahkamah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak yang membabitkan rumah, kereta dan barangan peribadi milik arwah.

“Alhamdulillah dah selesai urusan faraid mengikut hukum.

“Saya berpuas hati dengan keputusan yang diputuskan oleh pihak mahkamah . Selepas ini doakan saja yang terbaik.

“Mengenai soal berapa duit peninggalan arwah, saya tak boleh kongsi kerana ia terlalu peribadi.

“Walaupun pihak sana (ibu mertua)  tidak hadir tetapi ia tidak mengganggu proses mahkamah kerana semuanya telah ditetapkan bahagian,” kata Hidayah kepada Wilayahku. 

HIDAYAH ketika ditemui selepas prosiding mahkamah

Menurut Hidayah, semua peninggalan arwah perlu difaraidkan mengikut hukum syarak.

“Tuntutan  ini berkaitan apa sahaja yang ditinggalkan oleh arwah seperti rumah, kereta, semua duit dan barangan lain seperti jam tangan, kasut, telefon dan kamera,” jelasnya lagi. 

Nor Hidayah ditemui selepas selesai prosiding berhubung tuntutan faraid dan hadanah (hak penjagaan anak) di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada hari ini (Khamis).

Manakala berhubung hak penjagaan, Nor Hidayah memberitahu mahkamah menetapkan tarikh baharu pada Oktober depan memandangkan ibu mentuanya tidak hadir pada hari ini. 

Berkenaan spekulasi yang mengatakan kereta milik arwah abam ditarik, Hidayah menafikannya.

“Kereta tak kena tarik, masih ada tapi saya tak nak komen lebih lanjut, nanti akan tahu juga,” katanya. 

Berkenaan wang RM 10,000 yang dikeluarkan atas dakwaan Ali puteh, Hidayah akui tidak menggunakan duit wang tersebut.

“Apa yang  boleh saya cakap, duit 10,000 saya ambil tapi masuk akaun anak. Saya tak guna satu sen pun,” katanya lagi.

Pada Isnin, Nor Hidayah bersama dua orang peguam mengadakan sidang media tergempar di Shah Alam, Selangor bagi menjelaskan berhubung dakwaan dia membuat tuntutan saman terhadap ibu mentuanya iaitu Sabariah Arshad. 

Peguam Mohamed Ibrahim Mohamad memberitahu pihaknya menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan Sabariah yang menfailkan saman terhadap Nor Hidayah pada Julai lalu.

Sebelum ini menerusi siaran langsung di Facebook sebuah portal berita, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau pelawak Ali Puteh menunjukkan surat saman yang dihantar peguam Nor Hidayah kepada ibunya.

Menjelaskan mengenai surat saman yang dinyatakan Ali Puteh, peguam syariah Fadhlina Siddiq menjelaskan nama Sabariah turut tersenarai dalam tuntutan berkenaan sebagai pengesahan waris.

Nor Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia 14 bulan.

Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas dua hari mengalami demam. – WILAYAHKU

 

CATEGORIES
TAGS