ISTANA Pahang menafikan sebarang Istiadat Perkahwinan Diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan seorang wanita pada April tahun depan.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama.
Terbaharu menurutnya, individu terbabit ‘menerangkan’ berkenaan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.
“Menurut hantaran di Instagram wanita berkenaan, dia mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan dan secara fitnah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamed Zahari berkata, Istana Pahang meminta orang ramai agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik selain daripada portal rasmi Istana Pahang dan platform media sosial menggunakan nama Kesultanan Pahang.
Tambahnya, tindakan tegas boleh diambil kepada individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu-gugat keharmonian khususnya Istana Pahang. – WILAYAHKU