BANGUNAN Panggung Istana Budaya yang menjadi pusat tumpuan para penggiat seni tanah air bagi menganjurkan pementasan bertaraf antarabangsa di Panggung Sari akan ditutup mulai 15 Januari 2024.
Ketua Pengarahnya, Zubaidah Mukhtar berkata penutupan dengan bertujuan untuk memberi ruang kepada kerja-kerja penambahaikan dan penyelenggaraan bangunan khususnya bumbung Istana Budaya telah disahkan oleh pengendali sepenuhnya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Bangunan Panggung Istana Budaya tidak akan beroperasi untuk sebarang bentuk acara atau pementasan sehingga 5 Januari 2026 dan Istana Budaya dijangka akan dibuka pada tahun tersebut selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026).
“Dalam tempoh penutupan ini, Istana Budaya akan menganjurkan persembahan-persembahan menerusi Kempen Gerak ke seluruh Malaysia dengan produk-produk utama Istana Budaya seperti Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (0SK) dan Artistana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Istana Budaya sentiasa terbuka bagi memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan sebagai rakan strategik (smart partnership) serta penggiat seni tanah air untuk bekerjasama dalam menganjurkan persembahan di dalam dan luar negara.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung melalui e-mel [email protected] atau hubungi Unit Perhubungan Awam, Istana Budaya di talian 03-40265555. – WILAYAHKU