Agama

‘Islam tidak membeza-bezakan, bersifat universal’- Hadi

PENGERUSI Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (tengah) bersama Mikhael (kiri) dan Nur Aisyah.
- Diterbit 19 Mei 2023 11:00 AM MYT

UNIK! Itulah yang dapat digambarkan suasana pada Majlis Rumah Terbuka Al Bayan di Dewan Masjid Bandar Baru Enstek, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini, apabila rata-rata mualaf daripada pelbagai kaum mengenakan busana tradisi masing-masing.

Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, Islam adalah agama yang bersifat universal atau ‘alamiyyah.

“Islam tidak membeza- bezakan antara lelaki dan wanita, antara yang berkulit putih mahupun hitam dan tidak pernah mengajar kita menolak asal-usul keturunan yang mana seorang mualaf perlu mengubah status bangsa sebaik memeluk Islam,” katanya.

PENGERUSI Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (tengah) bersama Mikhael (kiri) dan Nur Aisyah.

Pada majlis itu juga Pertubuhan Akademi Al Bayan melancarkan produk Sambal Bilis TERIaak sebagai sumber bagi dana membina Kompleks Pendidikan Islam Akademi Al Bayan yang berpengkalan di Pegoh, Melaka.

Nur Mohammad Hadi berkata, pembangunan projek itu diwujudkan atas kesedaran bahawa kurangnya institusi pengajian yang menempatkan golongan anak-anak mualaf.

“Enggan bersandar kepada infaq orang ramai semata-mata, Al Bayan mengambil inisiatif mengeluarkan produk makanan sendiri iaitu Sambal Bilis TERIaak yang berpontensi sebagai janaan ekosistem Al Bay,” katanya.

Sementara itu, pempengaruh popular, Muhammad Mikhael Sathayah, 40, yang sebelum ini tular media sosial kerana hubungan erat dengan ibu biarpun berlainan agama berkata, ramai beranggapan apabila memeluk Islam, seseorang perlu menjadi ‘Melayu’.

“Sebelum ini ada yang bertanya kepada saya adakah saya seorang muslim atau India. Jawapan saya senang sahaja, saya berbangsa India dan beragama Islam.

“Malah di negara India sendiri terdapat begitu ramai orang Islam yang sangat cintakan negara itu sendiri. Tidak semestinya apabila kita memeluk Islam, kita perlu tinggalkan budaya asal,” katanya.

ISLAM tidak membeza-bezakan dalam soal keturunan.

Manakala Setiausaha Persatuan Dayak Muslim Selangor, Nur Aisyah Syuhada Abdullah, 40, berkata, kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak mempunyai banyak budaya dan adat yang perlu diteruskan oleh generasi sekarang.

“Amat merugikan jika budaya ini ditinggalkan terus atau dilupa jika sudah memeluk Islam. Selagi amalan itu tidak melanggar syariat, ia patut diamalkan dan ia juga memberi imej positif kepada Islam sendiri.

“Jika kita berpakaian tradisional etnik dan masih pulang ke kampung ketika ada majlis keramaian atau apa-apa perayaan, keluarga yang belum masuk Islam juga akan suka dan menyokong kita. Ia satu dorongan buat mualaf seperti kami.

“Konsep rumah terbuka ini sangat unik kerana rata-ratanya dihadiri mualaf yang berpakaian etnik masing-masing. Saya harap ia dapat diamalkan di tempat lain pada masa akan datang bagi memberi mesej bahawa Islam itu bukan untuk Melayu sahaja,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas