Berita

Irfan bakti tetap berpuas hati walaupun keputusan sekadar seri

- Diterbit 11 Mac 2021 3:10 AM MYT

TERENGGANU FC II (TFC II) tetap berpuas hati meskipun sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 dengan Kuching City FC pada aksi Liga Premier 2021 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pengendali TFC II Badrul Afzan Razali berkata dengan menurunkan hanya dua pemain import iaitu pemain pertahanan Argzim Redzovic dan Masaki Watanabe, daripada empat pemain yang dipertaruhkan pihak lawan, keputusan seri itu sudah cukup baik buat The Turtles.

“Semangat juang yang ditunjukkan pasukan malam ini sangat baik. Kalau dari segi fizikal pun, Kuching City FC mempunyai pemain import yang tinggi berbanding pemain TFC II yang bersaiz lebih rendah.

“Perancangan saya dalam menghadapi Kuching City FC menjadi, tetapi ada sedikit kelekaan kerana kita tumpukan kepada pemain import mereka walhal pemain tempatan mereka pun berbisa,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Badrul Afzan juga berkata anak buahnya agak terleka pada separuh masa pertama sehingga menyebab pihak lawan menjaringkan gol menerusi ‘set-piece’, dan kesilapan tersebut perlu diperbaiki untuk menghadapi Negeri Sembilan FC, Sabtu ini.

Dalam perlawanan malam tadi, menyaksikan gol pertama diraih skuad Penyu menerusi sepakan percuma Amirul Syazwan Nor Azmi pada minit ke-19, namun pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 melalui tandukan Mohd Hairol Mokhtar.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuching City FC Irfan Bakti Abu Salim berkata beliau tidak menjangkakan anak buahnya berjaya meraih satu mata di tempat lawan memandangkan ia adalah aksi kompetitif pertama skuadnya.

Irfan Bakti berkata tidak seperti pasukan di Semenanjung yang sering mengadakan perlawanan persahabatan, pasukannya terhalang daripada menyertai pertandingan sebelum ini kerana penularan COVID-19.

“Kita sekadar melakukan sesi latihan. Kalau ada perlawanan persahabatan pun hanya dengan pasukan Piala Presiden…tetapi Alhamdulillah, kita berjaya bawa pulang satu mata,” katanya mengakui anak buahnya bermain agak perlahan pada separuh masa kedua. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas