PARLIMEN Wangsa Maju bakal memiliki sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) yang baharu dan akan dibangunkan menerusi pelan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), kata Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.
Beliau berkata, pembinaan IPD berkenaan akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 penduduk di kawasan parlimen itu.
“Ketika ini penduduk di kawasan parlimen berkenaan menggunakan khidmat keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kedudukan ibu pejabatnya terletak di Jalan Pudu.
“Kalau kita lihat kawasan yang di bawah IPD Wangsa Maju ini ada lebih kurang 57 (kediaman) kedutaan dan 30 kediaman duta-duta asing,” katanya.
Tambah Zahir kawasan Wangsa Maju menjadi keutamaan untuk diberikan oleh kerajaan dalam membina (IPD) menerusi rolling plan kelima dalam RMK-12 adalah satu keputusan yang tepat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Lestari Intervensi Awal 2024, di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju.
Zahir mengiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang merasmikan majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Zahir berkata, pembinaan sebuah IPD di kawasan parlimen berkenaan adalah satu keperluan kerana kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi berbanding kawasan-kawasan lain.
Beliau berkata bagi setiap satu kilometer persegi terdapat lebih kurang 13,547 orang penduduk dan ia jelas menunjukkan Wangsa Maju perlu mempunyai IPD sendiri.
“IPD Wangsa Maju kini memberikan khidmat kepada tiga kawasan parlimen termasuk Setiawangsa dan Titiwangsa.
“Jadi, ia adalah satu kawasan parlimen padat yang memerlukan keselamatan, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya. – WILAYAHKU