MALAYSIA MADANI: Jiwa Merdeka diangkat sebagai tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.
Malaysia MADANI membawa maksud tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama. Manakala Jiwa Merdeka pula menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi; seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dalam menuju HKHM, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 turut diadakan bagi menyuburkan semangat patriotisme serta cintakan negara.
“Ia juga bertujuan menyemarak-kan sambutan Bulan Kebangsaan dalam kalangan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik, berasaskan aspirasi Malaysia MADANI menerusi inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang,” ujar beliau pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 baru-baru ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata majlis tersebut berkonsepkan karnival rakyat serta mendapat kerjasama daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.
“Ia dimeriahkan dengan penganjuran Karnival Kita MADANI X HKHM dengan pengisian reruai Komuniti MADANI X NADI, RIUH X HKHM, perkhidmatan untuk rakyat, pameran daripada pelbagai agensi, jualan keusahawanan, persembahan patriotik, aktiviti interaktif kenegaraan serta demonstrasi pembuatan produk tempatan.
“Turut diadakan, Program Permukiman Komuniti MADANI yang disertai hampir 2,500 orang peserta terdiri daripada ketua dan ahli Komuniti MADANI seluruh Semenanjung Malaysia bagi memperkasakan komuniti berkaitan inisiatif kerajaan serta penglibatan komuniti dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan,” ujarnya.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang membawa Jalur Gemilang ke seluruh pelosok negara.
Pelaksanaan aktiviti tersebut pada tahun ini diselaraskan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri di mana Jalur Gemilang akan diserahkan kepada Pengarah Penerangan Negeri selaku Ketua Konvoi di setiap sempadan negeri.
“Sama-sama kita nantikan kehadiran konvoi di 88 check point yang telah dikenal pasti di seluruh negara.
“Konvoi ini melibatkan sejumlah 90 orang peserta dan 65 buah kenderaan daripada JaPen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) Selangor dan Kelab Suzuki V-Strom Malaysia.
“Selain itu, Program Jiwa Merdeka antara kementerian dijadikan salah satu pengisian sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Jalur Gemilang akan dipasang dan dikibarkan di bangunan-bangunan kerajaan sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. Saya harap negeri-negeri lain turut melaksanakan program yang sama,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai pelbagai aktiviti sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan semua maklumat yang berkenaan boleh didapati melalui portal rasmi www.merdeka360.my.
“Mewakili Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, syabas saya ucapkan atas komitmen semua pihak yang menjayakan majlis ini. Insya-Allah momentum kemeriahan ini akan diteruskan pada 31 Ogos dalam Acara Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dan seterusnya Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di negeri Sabah,” katanya.
Terdahulu, program serampang dua mata dalam menyantuni kebajikan rakyat serta pada masa sama, menyuntik semangat cintakan negara itu berjaya menarik kira-kira 5,000 pengunjung dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – WILAYAHKU