Berita

Integriti: Perkukuh nilai kejujuran, amanah

Gambar hiasan
- Diterbit 13 Januari 2025 12:26 PM MYT

PAKAR undang-undang antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata, untuk membentuk Malaysia sebagai negara berintegriti memerlukan pendekatan menyeluruh.

“Usaha itu perlu melibatkan kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan rakyat kerana pengukuhan undang-undang antirasuah dan penguatkuasaan yang tegas adalah asas penting.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diberi kuasa penuh dan bebas untuk bertindak, manakala Akta Perlindungan Pemberi Maklumat perlu diperkuat bagi melindungi pemberi maklumat,” katanya.

Menurut Mohd Yazid, ketelusan dalam tadbir urus juga perlu ditingkatkan.

Katanya, reformasi sektor awam harus memastikan ketelusan dalam perolehan kerajaan dan perbelanjaan awam melalui sistem bidaan terbuka.

“Pemimpin politik dan pegawai tinggi wajib mengisytiharkan harta secara berkala, dengan diaudit oleh badan bebas. Pendidikan integriti dalam kalangan masyarakat perlu diperluaskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yazid berkata, nilai kejujuran dan amanah boleh diperkukuhkan melalui pendidikan antirasuah di sekolah, serta kempen kesedaran melalui media.

Jelas beliau, pada masa yang sama, sektor swasta perlu mengamalkan tadbir urus korporat yang telus dan mengelakkan rasuah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas