Artikel

Inspirasi daripada golongan bawahan

SESEKALI golongan atasan juga perlu mengutip inspirasi kehidupan daripada golongan bawahan. – Gambar hiasan
- Diterbit 19 November 2024 12:46 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSEIN

KUALA Lumpur umpama gelanggang yang mempertarungkan golongan marginal yang serba terpencil dengan persekitaran dan tuntutan hidup yang amat mencabar. Sekalipun penuh cabaran, sebahagian besar dalam golongan itu sanggup berdepan dengan semangat dan keazaman hidup yang tinggi.

Dalam keadaan yang sedemikian juga, Kuala Lumpur terus menjadi tumpuan pendatang dari segenap pelosok untuk datang mencari rezeki. Dengan kelas marginal yang dipegang mereka seperti telah bersedia dengan ujian hidup yang besar untuk mencari secebis rezeki yang terhampar di kota ini.

Disebabkan itu mereka terpaksa berjuang dengan kudrat dan sanggup berpanas dan berhujan demi kelangsungan hidup. Masa yang sama mereka amat realistik dengan resam hidup dalam kelas sosial yang rendah, cabaran dan halangan menjadi prasyarat yang mesti direntas.

Semangat dan keazaman sebahagian besar dalam golongan marginal itu yang menentukan kelangsungan hidup mereka di Kuala Lumpur. Kalau orang lain kerap mengulang-ulang bahawa hidup ini keras, mereka itulah yang lebih faham tentang kerasnya kehidupan yang dilalui.

Maka kalau kita mahu mengenal makna kehidupan khususnya di Kuala Lumpur, keazaman golongan itulah yang sewajarnya menjadi cerminan yang boleh diangkat sebagai inspirasi. Keazaman golongan marginal atau kelas bawah itu adalah suatu yang sangat menginspirasikan sesiapa sahaja yang mahu menikmati hidup.

Sekalipun hidup itu mudah tetapi cabaran dalam menjalani kehidupan sebagai golongan marginal adalah berganda sukarnya. Mereka tidak punya apa-apa sandaran melainkan upaya daripada kudrat dan keazaman. Mereka tidak ada kuasa untuk dijadikan sebagai tawar-menawar seperti golongan yang lebih tinggi aras sosial dan ekonominya.

Mereka perlu meredah semua susah payah dan rintangan dengan tekad yang tidak mudah digugat oleh sesiapa atau apa-apa keadaan sekalipun. Itulah pelajaran kehidupan yang boleh kita tumpang daripada mereka yang diuji dengan penuh getir.

Golongan marginal bukan sahaja tidak ada kuasa malah mereka sendiri pun terpinggir disebabkan segmentasi sosial yang ditentukan oleh status ekonomi antara kelompok dengan yang lain. Lalu golongan bawahan itu hanya menggunakan kudrat dan semangat untuk melawan keadaan sedemikian.

Selalunya kita disaran supaya menjadikan individu yang berjaya dalam kehidupan terutama di sudut ekonomi sebagai suri teladan atau sumber inspirasi. Tujuannya dengan harapan dapat mengikut jejak berkedudukan yang tinggi dalam kehidupan dan masyarakat.

Sekalipun begitu, untuk mendapatkan sesuatu yang menginspirasikan dalam kehidupan adalah dengan mengamati tekad hidup golongan bawahan. Itulah ilmu kehidupan yang sebenarnya melihat perjuangan hidup yang tidak pernah lelah.

Tidak ada salahnya meraikan orang yang berjaya dengan memetik sisi yang membina untuk diteladani dengan harapan boleh menjejakinya. Bagaimanapun inspirasi datang daripada berbagai-bagai rupa dan yang paling banyak boleh dipelajari adalah daripada golongan yang banyak berjuang untuk hidup.

Orang yang sudah berada di puncak kejayaan hanya mampu bercakap mengenai zaman lampaunya yang penuh sukar. Bagaimanapun hal itu tidak sama dengan melihat sendiri pahit maung orang bawahan bertarung untuk hidup.

Sumber inspirasi

Perjuangan hidup golongan bawahan terutama di kota besar sering kali bermula dari lingkungan yang sukar. Kesukaran itu adalah kehidupan mereka. Itulah bezanya dengan yang golongan yang jauh lebih baik kedudukan sosialnya yang boleh bermalas-malasan kerana ada dukungan ekonomi yang kuat.

Misalnya golongan elit yang mempunyai kekayaan yang boleh menyara hidup selama tujuh keturunan selepas mereka. Individu dalam golongan itu tidak banyak yang memahami makna kehidupan keras yang dialami oleh golongan bawahan.

Malah kurang mengerti deritanya apabila tidak ada yang hendak dimakan, berbanding golongan elit yang sudah jemu makan juadah yang enak-enak hingga tidak tahu apa yang hendak dimakan.

Perjuangan hidup golongan bawahan itu amat menginspirasikan kita, terutama sekali daripada sudut kegigihan dan ketabahan. Disebabkan tidak mempunyai akses pada pelbagai peluang, semangat dan tekad terus berjuang demi kehidupan boleh dijadikan teladan.

Mereka berdepan dengan kemiskinan, mungkin diskriminasi dan kekurangan peluang tetapi semangat dan azam untuk hidup tidak pernah padam. Semangat dalam menghadapi cabaran hidup menjadi suatu yang wajar dicontohi sekalipun kita tidak berada dalam tekanan keadaan yang sebenar.

Melalui kisah-kisah keperitan golongan bawahan itu membolehkan kita belajar untuk menghargai setiap detik kehidupan dan bersyukur atas apa yang kita miliki. Dengan melihat contoh daripada perjuangan hidup golongan bawahan di kota besar, kita juga pasti terdorong untuk tidak mudah menyerah saat menghadapi cabaran.

Kehidupan golongan itu tidak sahaja membangkitkan rasa empati, tetapi juga menjadi sumber inspirasi bagi kita untuk menghadapi tentangan hidup dengan semangat juang yang tinggi. Daripada meratapi nasib, banyak individu dari golongan ini memilih untuk bangkit dan berjuang menghadapi segala rintangan.

Kehidupan golongan bawahan sering kali dipenuhi dengan kekurangan, keterbatasan dan perjuangan yang tidak mudah. Mereka sudah biasa dengan keadaan yang memaksa bekerja keras setiap hari demi menyara kehidupan keluarga.

Dalam keadaan seperti itu kesedaran akan pentingnya etika kerja dan integriti tidak pernah terpinggir malah menjadi semakin kuat. Pengalaman itu membuatkan mereka belajar untuk menjadi lebih sabar dan tahan uji untuk menikmati dengan sedalamnya pada setiap rezeki kecil yang dimiliki.

Kesedaran yang dipetik dari kehidupan golongan bawah ini merupakan cerminan kekuatan yang muncul dari keterbatasan dan tekanan. Mereka boleh dijadikan teladan untuk memahami bahawa hidup bukanlah sekadar mencari kekayaan tetapi juga tentang bagaimana kita menghadapi ujian.

Dengan belajar dari kesedaran yang terinspirasi dari kehidupan golongan bawahan, kita dapat menjadi lebih berempati, bersyukur dan lebih menikmati kehidupan ini. Hidup memang penuh dengan ujian, bagaimanapun dengan semangat yang tinggi dan kesedaran yang mengakar kukuh, semua halangan mampu direntas dengan sebaik-baiknya.

Sesekali golongan atasan juga perlu mengutip inspirasi kehidupan daripada golongan bawahan. Banyak yang boleh dimanfaatkan dengan kuasa, kedudukan sosial dan ekonomi yang tinggi dan amat kukuh. Hal itu kerana kerap kali juga keadaan selesa boleh membuatkan kita hilang perjuangan untuk menikmati hidup yang sebenarnya.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi bukan pendirian Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas