Berita

Insiden renjatan elektrik: MOT tubuh pasukan petugas khas, operasi bas digantung

- Diterbit 4 November 2024 9:43 AM MYT

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) akan mengaktifkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kematian seorang remaja akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya pada soket sebuah bas ekspres di Pulau Pinang, Jumaat lepas.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas itu terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Malah beliau turut mengarahkan APAD menggantung operasi bas yang terbabit serta-merta untuk siasatan lanjut oleh JPJ.

“Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja semasa mengecas telefon dalam bas ekspress yang dinaikinya.

“Satu pasukan petugas khas (special taskforce) yang terdiri daripada JPJ, APAD dan MIROS akan diaktifkan untuk menyiasat punca insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan terperinci dilakukan bagi memastikan insiden sama tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Dalam insiden pada pukul 7.30 malam itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya pada soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal Bas Penang Sentral.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, insiden itu disedari penumpang lain sebelum kejadian dilaporkan kepada polis oleh pemandu bas berusia 36 tahun.

Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan remaja lelaki itu maut akibat renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas