Berita

Insiden Putra Heights: Mangsa diminta mendaftar sebelum tengahari esok

- Diterbit 5 April 2025 8:00 PM MYT

SEBANYAK 509 keluarga yang terjejas insiden kebakaran gas di Putra Heights telah berdaftar dengan pusat penempatan sementara (PPS).

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pertambahan tersebut dijangkakan setelah mereka pulang berhari raya.

“Ini kerana kejadian tersebut berlaku pada 1 April iaitu pada hari raya kedua dan sebahagian mereka pulang semalam atau hari ini.

“Justeru Kerajaan Negeri Selangor atau pengurusan bencana menasihatkan sesiapa yang belum mendaftar untuk tampil kerana kita akan menutup pendaftaran pada tengahari esok.

“Ia bagi memberi laluan kepada pihak berkaitan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Tanah dan Daerah bandingkan dengan senarai rumah yang telah dikenal pasti,” ujar beliau dalam sidang media di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor hari ini.

Tambahnya, kerumitan tersebut timbul kerana dibeberapa premis diletakkan rumah-rumah sewa yang sebahagiannya terdapat lebih daripada satu pintu.

“Itupun kita akan pertimbangkan justeru, ada satu lagi kategori iaitu kategori penyewa, jadi kategori 1 adalah rumah total lost sementara kategori 2 adalah rumah yang terkesan tetapi tidak total lost selain penyewa.

“Jadi maknaya bantuan RM5, 000 akan diberikan kepada rumah total lost dan RM2, 500 kepada rumah yang terkesan serta mereka yang menyewa.

“Bantuan ini akan bermula pada hari isnin, kita akan memanggil nama-nama yang telah disahkan untuk menyerahkan sumbangan. Dijangkakan minggu hadapan sumbangan ini akan diselesaikan,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas