KEMENTERIAN Luar Negeri (Wisma Putra) secara konsisten telah dan akan mengemukakan Nota Bantahan kepada negara-negara terlibat jika berlaku insiden pencerobohan kapal-kapal milik kerajaan asing di kawasan maritim Malaysia.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, ia adalah selari dengan pendirian tegas negara dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara.
“Hal ini juga selaras dengan pendirian tegas negara bahawa semua pihak perlu mengelak tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif selain mengamalkan pendekatan self–restraint,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan dan pembangunan infrastuktur oleh China di kawasan yang turut dituntut negara-negara jiran berikutan ketegangan di Laut China Selatan.
Mohamad berkata, kerajaan juga sentiasa menegaskan pendirian Malaysia dalam setiap pertemuan dengan negara-negara luar di pelbagai peringkat, dari peringkat pemimpin negara hinggalah di peringkat kumpulan kerja.
Terdahulu beliau menegaskan isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks, sensitif dan perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh.
Setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan katanya, adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif dan tidak sesekali akan memprejudiskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara.
Jelas beliau, kerajaan sentiasa mengambil berat akan keselamatan perairan negara di Laut China Selatan selain memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi di kawasan tersebut dengan keterlibatan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.
Ini katanya, bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.
“Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.
“Tindakan-tindakan yang diambil termasuk rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran di kawasan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu jelasnya, kerajaan melaksanakan pendekatan ‘whole of government’ untuk menyelaras tindakan-tindakan yang diambil untuk menjamin keselamatan perairan Malaysia.
Tambahnya, setiap agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan.
“Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan bagi memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. – WILAYAHKU