Berita

Insiden pelajar UPSI: KPT salur bantuan kewangan, khidmat psikososial

- Diterbit 9 Jun 2025 7:30 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi jabatan-jabatan dan agensi di bawahnya termasuk Yayasan Perkasa Siswa (YPS) akan menyalurkan beberapa bantuan kepada waris dan mangsa nahas kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, awal pagi Isnin.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, antara bantuan yang disalurkan adalah Bantuan khairat kematian oleh YPS kepada setiap waris pelajar yang meninggal dunia sebanyak RM2,000.

“Selain itu, bantuan bencana oleh YPS bagi setiap pelajar yang cedera sebanyak RM1,000; sokongan psikososial kepada semua mangsa terutama yang mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan serta menguruskan proses pengebumian kesemua pelajar yang meninggal dunia termasuk van jenazah dan kos berkaitan;

“Di samping itu, tabung bantuan kemalangan juga ditubuhkan bagi meringankan beban ahli keluarga dan mangsa,” ujar beliau dalam kenyataan.

Tambahnya, dalam masa sama KPT juga bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan lain dan sokongan kepada mangsa serta waris keluarga yang terjejas.

“Semoga mangsa dan ahli keluarga yang ditimpa musibah bertabah serta sabar menghadapi dugaan dan ujian ini. Kepada yang cedera, kita doakan semoga semuanya diberikan kesembuhan. Kepada yang telah kembali ke rahmatullah, didoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah.

“KPT juga ingin merakamkan penghargaan kepada UPSI yang menguruskan kebajikan dan urusan berkaitan dengan baik bersama kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa mahupun masyarakat yang turut terlibat dalam usaha penyelamatan dan rawatan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan membolehkan proses siasatan dilakukan sebaiknya.

Terdahulu, insiden melibatkan sebuah bas yang bergerak dari Besut, Terengganu menuju ke UPSI, Tanjung Malim itu telah menyebabkan 15 orang terkorban manakala 29 yang lain mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Gerik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas