MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan penuh berhubung insiden tanah jerlus yang berlaku di kawasan Masjid India, dan kini sedang meneliti secara menyeluruh punca kejadian sebelum membentangkannya dalam mesyuarat Kabinet.
Menurut beliau, laporan tersebut merangkumi dapatan teknikal daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Indah Water Konsortium (IWK), yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta penilaian struktur tanah di lokasi kejadian.
“Kita telah menerima laporan penuh dan sedang meneliti secara teliti semua aspek yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah jerlus di kawasan Masjid India.
“Saya akan bentangkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet, dan saya menjangkakan ia dapat dilakukan sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Mata Hati Wilayah di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Sosio Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Thomas @ Parang Abai dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar,Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Badrul Hisham Baharudin.
Insiden tanah jerlus yang berlaku pada 23 Ogos 2024 telah menggemparkan warga kota apabila seorang wanita warga India, Vijaya Laksmi Goli, 48, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.
Operasi SAR yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Unit STORM berlangsung selama sembilan hari, namun mangsa masih belum ditemui sehingga kini.
Kejadian kedua tanah mendap turut dilaporkan berlaku pada 28 Ogos 2024, kira-kira 50 meter dari lokasi asal, dipercayai akibat hujan lebat. Laluan di sekitar Jalan Masjid India telah ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bagi menjamin keselamatan awam sebelum ini.
Zaliha turut menegaskan bahawa kerajaan komited untuk memastikan keselamatan struktur tanah di kawasan berisiko dan akan mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa, bergantung kepada hasil siasatan dan keputusan Kabinet kelak.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Kita akan pastikan segala dapatan ini dibincangkan secara teliti dan tindakan susulan akan diambil,” tambah beliau.
Terdahulu Zaliha ketika melancarkan program Mata Hati Wilayah adalah merupakan kesinambungan program tahun lalu yang menyasarkan peneriksaan kesihatan mata untuk murid-murid tahap 1, di sekolah-sekolah terpilih dan Dari keluarga B40.
Kata beliau, bermula pada tahun 2024, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan mata di Lima buah sekolah rendah di Kuala Lumpur.
” 92 peratus daripada mereka yang menerima bantuan cermin mata melalui program Mata Hati Wilayah telah menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam aspek komunikasi dan pergaulan sesama murid, serta menunjukkan kecenderungan positif dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), ” katanya. -WILAYAHKU