Berita

Insiden khianat rumah Ngeh Koo Ham: Orang ramai jangan ambil tindakan sendiri – Saifuddin

- Diterbit 10 Januari 2024 6:36 PM MYT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Katanya yang mengulas serangan bom botol molotov cocktail ke atas rumah Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham awal pagi tadi, beliau menggesa semua pihak bertenang dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan susulan.

“Kita minta jangan ada pihak yang mengambil tindakan melampaui lunas undang-undang.

“Saya percaya masyarakat akan meletak keyakinan pada polis dengan keupayaan yang ada.

“Kami kekal menggesa rakyat untuk bertenang dan jaminan keselamatan negara adalah keutamaan polis,” katanya pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya petang ini.

Hadir sama Pengarah Keselematan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Comisioner Polis (CP) Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Polis menyiasat kejadian mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

“Dia (Ngeh) adalah mangsa, dan dari segi siasatan polis, kita kata tugas polis untuk kenal pasti motif, mengesan suspek, mencari punca… dan siasatan sudah pun bermula,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Yusri Hassan Basri mengesahkan bahawa kebakaran yang berlaku di rumah Ngeh disyaki perbuatan khianat dan menyatakan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut.

Dalam kejadian pukul 2.50 pagi itu, tiga buah kereta musnah termasuk sebuah Mercedes E300, yang terbakar kira-kira 80 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas