Berita

Inisiatif DBKL mudahkan peniaga

ANTARA komen warganet yang memuji tindakan Zaliha.
- Diterbit 26 Mac 2025 4:12 PM MYT

MESKIPUN berhadapan dengan ribut kencang baru-baru ini dan pelbagai permasalahan yang timbul, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) terus kekal menjadi destinasi utama rakyat Malaysia yang mencari kelengkapan Syawal.

Menurut peniaga kuih raya, Muhammad Arief Darmawan, 33, dia bersyukur kerana menerima jumlah pelanggan yang luar biasa meskipun baru memasuki minggu kedua puasa.

MUHAMMAD ARIEF

“Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat baik berbanding tahun lepas dan kami terima pengunjung dari Sabah dan Sarawak juga.

“Masih terlalu awal untuk cakap tetapi setakat ini boleh dikatakan perniagaan tahun ini balik modal tambahan pula harga sewa tapak di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang murah banyak memudahkan peniaga seperti kami ini,” katanya kepada Wilayahku.

Muhammad Arief berkata meskipun mereka mempunyai perniagaan dalam talian namun perniagaannya secara fizikal lebih banyak mendatangkan keuntungan kerana ramai yang memilih untuk datang terus ke kedai dan beli.

Sementara itu peniaga, Afendi Mohamad, 43, berkata antara kelainan pada kali ini adalah Jalan TAR menerima pengunjung seawal minggu pertama puasa.

“Kebiasaannya selepas dua minggu puasa baru kita terima pengunjung yang ramai namun kali ini berbeza.

“Selain itu, susunan bazar pada tahun ini juga bagi saya lebih teratur dan kurang sesak berbanding tahun-tahun sebelum ini. Pelanggan boleh keluar masuk dan membeli dengan senang tanpa perlu bersesak-sesak biarpun ketika waktu puncak.

“Dalam pada itu, ribuan terima kasih juga diucapkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa kerana pelan yang dibuat ini amat bagus untuk mengelakkan kesesakan,” katanya.

MOHAMED AFENDI

Katanya keprihatinan Menteri dan Datuk Bandar Kuala Lumpur terhadap para peniaga terserlah lebih-lebih lagi selepas insiden ribut baru-baru ini.

“Semuanya ada hikmah tersendiri lebih-lebih apabila diuji pada bulan yang mulia ini,” katanya yang sudah lebih tujuh tahun berniaga di Jalan TAR.

Afendi berkata dia juga menawarkan harga diskaun kepada pelanggannya.

“Untuk pembelian dua helai ke atas kita akan berikan harga yang terbaik kepada pelanggan kerana kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami,” katanya.

Bagi peniaga, Edy Shuhaimie, 52, harga sewa tapak yang dikenakan pada kali ini lebih berbaloi berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini cagaran sahaja RM2,000 tidak termasuk sewa tapak dan lesen.

“Pengurangan sewa ini juga sebenarnya membantu kami sebagai para peniaga dan kami berpeluang untuk mengaut lebih banyak keuntungan dengan jumlah pengunjung yang ramai terutama pada hujung minggu.

“Diharapkan juga jualan dapat ditingkatkan lagi dalam tempoh minggu terakhir Ramadan ini dan kebiasaan pada hujung-hujung nanti kebanyakan peniaga

akan menjual dengan harga lelong bagi menghabiskan stok. Buat mereka yang mencari pada harga rendah boleh datang nanti,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas