Berita

Inflasi rendah, impak rasionalisasi subsidi diesel minimum – Pakar

- Diterbit 24 Julai 2024 7:27 PM MYT

KADAR inflasi negara yang lebih rendah daripada jangkaan pada Jun 2024 membayang impak daripada rasionalisasi subsidi diesel kelihatan minimum, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun menyumbang hanya 0.2 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP).

Menurutnya, Bank Negara Malaysia yang dijangka tidak akan melonggarkan dasar monetarinya, tidak seperti bank pusat di negara maju dan China, sepatutnya dapat menyokong ringgit.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, IHP berada pada 133.0 mata, didorong oleh peningkatan dalam sektor perkhidmatan restoran dan penginapan (3.3 peratus), serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus).

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata meskipun inflasi utama kekal stabil, kos makanan di rumah meningkat daripada 0.5 peratus pada Mac 2024 kepada 0.9 peratus pada Jun 2024.

Beliau berkata peningkatan ini berpunca terutamanya daripada kategori sayur-sayuran yang menyaksikan inflasi meningkat daripada 4.8 peratus kepada 6.2 peratus.

“Kenaikan inflasi sayur-sayuran boleh dikaitkan dengan kos logistik dan pengangkutan yang lebih tinggi, yang seterusnya meningkatkan perbelanjaan petani,” katanya.

Mohd Sedek berkata program subsidi diesel Budi Madani memberi subsidi kepada petani atau pekebun kecil yang syarikatnya berdaftar dengan agensi berkaitan.

“Bagaimanapun, untuk layak mendapatkannya, mereka mestilah pekebun kecil komoditi yang aktif dengan perolehan tahunan antara RM50,000 dan RM300,000 daripada hasil pertanian dan komoditi.

“Pada pandangan kami, kerajaan harus menyemak semula syarat-syarat ini, kerana tidak ramai petani yang termasuk dalam kategori ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas