Berita

Industri pelancongan kembali rancak

- Diterbit 23 Disember 2023 2:43 PM MYT

KEHADIRAN pelancong ke negara ini membantu  mengukuhkan ekonomi serta menggiatkan semula sektor tersebut sekali gus mengurangkan kesan akibat pandemik.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,  industri pelancongan memiliki potensi yang sangat besar tanpa banyak kerenah dan pelaburan.

“Kita sentiasa lihat apa sahaja kekangan melibatkan pelancongan antaranya dari segi lapangan terbang, imigresen, kemudahan asas yang baik seperti hotel dan sebagainya termasuklah dari segi isu visa.

“Persoalan pelancong datang tak mahu balik dan sebagainya itu, dari segi keselamatan kita tegas. Ada sahaja laporan atau rekod, kita halang dari masuk. Kalau terlepas masuk, kita bawa keluar. jangan kerana itu, kita gunakan alasan untuk halang pelancong masuk,” ujarnya pada Sesi Dialog Bersama Ketua Pengarang serta Pengarang Kanan Media di Dewan Bankuet, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan tentang kemasukan pelancong dari China dan India tanpa visa ke Malaysia selama 30 hari bermula 1 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata peningkatan pelancong memberi kesan yang ketara kepada sektor tersebut selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

“Kota Kinabalu yang dianggap ketinggalan sebelum ini sekarang ada tiga kali sehari penerbangan dari Korea. Hotel semua penuh dan sekarang ini tumpuan  Kerajaan Negeri Sabah adalah untuk membina lagi hotel.

“Ini memberi pulangan yang berhasil dan sudah semestinya peluang pekerjaan yang lebih besar dan cepat daripada industri yang mengambil masa bertahun-tahun,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas