Berita

Indonesia sedia untuk hasilkan minyak bahan api B30

- Diterbit 14 Ogos 2020 8:00 AM MYT

INDONESIA dijangka dapat menghasilkan minyak bahan api B30, campuran 70 peratus minyak diesel dan 30 peratus Fatty Acid Methyl Ester (FAME) yang bahan mentahnya adalah minyak sawit, selepas kejayaan B20, kata presiden Indonesia.

Kerajaan Indonesia sekarang berusaha untuk menghasilan sumber tenaga sendiri tanpa perlu bergantung pada orang lain, dalam menyokong pembangunan ekonomi negara, lapor agensi berita Xinhua memetik Presiden Joko Widodo.

Beliau berucap pada perhimpunan tahunan perundingan rakyat di sini Jumaat.

“Tahun ini, kita mula mengeluarkan B30 dalam usaha untuk mengekang import minyak kita setelah berjaya menghasilkan B20 pada 2019,” katanya.

Selain itu, presiden berkata perusahaan minyak dan gas negara, Pertamina dan penyelidik berjaya mencipta pemangkin untuk menghasilkan D100.

“D100 adalah minyak diesel yang bahan mentahnya 100 peratus minyak sawit. Ini sekarang sedang diuji oleh dua kilang minyak kami dengan harapan ia akan menggunakan satu juta tan minyak sawit yang dihasilkan petani untuk pengeluaran 20,000 tong sehari,” kata Widodo.

Selain pembangunan B30, Indonesia juga mengembangkan batu arang sebagai bahan mentah metanol dan gas, akan digunakan dalam industri petrokimia yang bakal membekalkan produk hiliran dengan nilai tambah tinggi, ujarnya.

Di samping itu, katanya bijih nikel yang telah diproses menjadi kepingan keluli tahan karat akan dikembangkan menjadi bahan utama untuk bateri litium.

“Semua itu memperbaiki defisit kita sekarang, meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan penguasaan tenaga fosil,” katanya.

Usaha itu juga ujarnya menjadikan Indonesia mempunyai kedudukan strategik dalam pembangunan bateri lithium dan kereta elektrik selain sebagai pengeluar teknologi masa depan.

Perhimpunan tahunan kali ini dihadiri 435 anggota, 161 hadir secara fizikal dan 274 lagi secara maya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas