IMR kaji penggunaan air liur, ‘deep troat saliva’ sebagai sampel kesan COVID-19

IMR kaji penggunaan air liur, ‘deep troat saliva’ sebagai sampel kesan COVID-19

INSTITUT Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang mengkaji untuk menggunakan air liur (awal pagi) dan ‘deep throat saliva’ untuk dijadikan sampel bagi mengesan COVID-19.

Ketua Unit Virologi IMR Dr T Ravindran berkata ia merupakan penemuan terbaharu bagi menggantikan sampel yang diambil hasil calitan pada hidung dan tekak pada masa ini.

“Ia telah kita nilai, dan memang sebagus sampel yang kita guna sekarang iaitu calitan daripada hidung dan tekak,” katanya dalam sesi libat urus media darurat COVID-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan siri 2/201 secara dalam talian di sini hari ini.

Kaedah tersebut dilihat penting kerana ia bersifat ‘self collected’ (dikumpul sendiri) dan akan menjimatkan pemakaian penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE).

Sampel itu juga setakat ini didapati sesuai bagi ujian real-time reverse transcriptase-PCR (RT-PCR).

“Kita juga akan mengkaji sama ada sampel ini sesuai digunakan untuk ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag), kita perlu sedikit masa lagi untuk melengkapkannya,” katanya.

Sementara itu dalam sesi yang sama, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Dr Hani Mat Hussin menyatakan sebanyak 6,336,804 ujian COVID-19 telah dilakukan di seluruh makmal di negara ini sejak 24 Jan tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, 4,477,839 ujian dibuat menggunakan RT-PCR manakala sejumlah 1,858,965 ujian lagi menggunakan RTK-Ag,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS