Berita

Imigresen nafi sekat Fahmi Reza keluar negara, sahkan sekatan hanya libatkan kemasukan ke Sabah

FAHMI Reza
- Diterbit 13 Jun 2025 3:30 PM MYT

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan Fahmi Reza yang mendakwa telah dihalang daripada ke luar negara dan mengesahkan tiada sekatan perjalanan dikenakan terhadap individu terbabit untuk keluar dari Malaysia.

Sebaliknya, menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, sekatan yang dikenakan hanyalah berkaitan kemasukan ke negeri Sabah, yang masih berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri berkenaan.

“Tiada halangan bagi individu tersebut untuk membuat perjalanan ke luar negara. Namun begitu, sekatan masuk ke negeri Sabah masih lagi berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri,” jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

FAHMI Reza

Mengulas mengenai kekeliruan maklumat di portal rasmi JIM yang turut menjadi perbualan hangat di media sosial, jabatan itu menjelaskan bahawa perbezaan maklumat antara versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris berpunca daripada proses pengemaskinian teknikal.

“Portal versi Bahasa Inggeris telah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan pengemaskinian. Semakan teknikal dalaman sedang dijalankan untuk memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat dalam semua versi bahasa,” kata beliau.

Perkara itu timbul susulan semakan status perjalanan individu terbabit menunjukkan maklumat berbeza dalam dua versi bahasa, sekali gus mencetuskan salah faham dan spekulasi dalam kalangan pengguna serta warganet.

Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan bahawa ia sentiasa menjunjung prinsip ketelusan, profesionalisme dan pematuhan kepada undang-undang dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan.

“Kami komited untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan memastikan setiap urusan perjalanan rakyat serta pelawat asing dikendalikan secara adil dan teratur,” menurut kenyataan itu lagi.

JIM turut menggesa orang ramai agar merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat, bagi mengelakkan kekeliruan atau penyebaran maklumat yang tidak berasas.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas