PEMBAHARUAN dalam tadbir urus perlu dilaksanakan secara signifikan untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran yang lebih besar bagi warga Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.
Demikian ditegaskan Penyelidik Kehormat di Institut Penyelidikan Asia, Universiti Nottingham Malaysia (UoNARI-M), Profesor Dr Bridget Welsh yang mengambil kira kejadian tragis pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail pada Mei serta lubang benam di Jalan Masjid India, Ogos tahun lalu.
Malah beliau turut menarik perhatian kepada masalah bekalan air yang berterusan di Labuan termasuk sistem saliran di Putrajaya.
“Kita mulakan (pemerhatian) kepada aspek penyelenggaraan. Masalah lubang benam memerlukan kajian bebas yang menyeluruh. Untuk 2025, kerajaan perlu menyediakan laporan pakar melibatkan isu-isu lubang benam yang menjadi masalah berterusan di ibu negara sejak 1968.
“Ia dilihat semakin teruk akibat penyelenggaraan yang lemah dan pembangunan berlebihan. Beberapa kawasan cenderung berdepan masalah ini, seperti di Ampang.
“Isu ini boleh ditangani dengan lebih berkesan melalui pemetaan yang betul, pengawasan dalam aspek pembangunan dan mengenal pasti impak perubahan iklim,” katanya kepada Wilayahku.
Welsh yang juga bekas Pengerusi Kumpulan Kajian Malaysia, Singapura, Brunei (MSB) turut menyentuh mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan Kuala Lumpur sebagai bandar hijau dan sepatutnya menjadi ‘paru-paru hijau’ bagi Lembah Klang.
Untuk itu katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjalankan kajian yang betul mengenai teknik penyelenggaraan pokok dalam mendepani isu pokok tumbang di ibu negara.
“Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu (Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif) tampil dengan penegasan kelestarian dan menyelamatkan kawasan hijau di ibu negara. Matlamat itu sepatutnya memperluas ruang hijau ini, bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi juga di Labuan dan Putrajaya,” katanya.
Dalam aspek infrastruktur pula beliau berkata ia memerlukan perhatian yang serius.
“Jalan raya di Kuala Lumpur tidak diselenggara dengan baik, dengan lopak yang membahayakan pemandu terutamanya penunggang motosikal. Putrajaya dan Labuan mempunyai jalan raya yang lebih baik tetapi masalah infrastruktur di sana berbeza.
“Labuan masih berdepan isu bekalan air biarpun sudah 40 tahun ia menjadi Wilayah Persekutuan. Janji untuk membina jambatan dan memperbaiki perkhidmatan feri mesti ditunaikan. Putrajaya juga ada isu sistem perpaipan dan saliran.
“Perkhidmatan asas di Wilayah Persekutuan memerlukan pelaburan dan keutamaan yang tinggi selain perhatian yang lebih melibatkan pelbagai kementerian,” katanya.
Melangkaui segala isu-isu tersebut jelasnya adalah penting kepada perubahan dalam tadbir urus dengan meletakkan keutamaan meningkatkan taraf kehidupan penduduk di Wilayah Persekutuan.
“Pemikiran birokrat dalam mentadbir kawasan ini perlu berubah daripada ‘kami tahu yang terbaik’ kepada ‘birokrat yang berkhidmat untuk rakyat Wilayah Persekutuan.’
“Libat urus dengan penduduk kena ditingkatkan. Warga Wilayah Persekutuan seharusnya diberi ruang luas untuk bersuara melibatkan tadbir urus mereka,” katanya.
Seperkara lain tegas Welsh adalah isu rasuah yang perlu ditangani secara serius.
Katanya, tuduhan rasuah melibatkan pegawai dan penguat kuasa di ibu negara adalah satu contoh jelas pentingnya satu audit dijalankan menyeluruh terhadap tadbir urus dengan memfokuskan kepada mengurangkan pembaziran, ketirisan dan meningkatkan akauntabiliti.
“Kita juga perlu lihat kepada isu belia. Ketiga-tiga Wilayah Persekutuan ini mempunyai jumlah belia yang besar dan mereka memerlukan sokongan untuk pendidikan dan pembangunan kerjaya.
“Populasi yang semakin tua di Kuala Lumpur juga memerlukan perhatian lebih. Program kebajikan sosial, pendidikan dan kesihatan hendaklah ditingkatkan,” katanya.
Akhir sekali katanya adalah usaha untuk membina perpaduan sosial dan hubungan komuniti.
“Ini akan membina pendekatan pembangunan dari bawah, lebih menumpukan kepada manusia yang akan menghasilkan Wilayah Persekutuan yang lebih makmur dan kukuh. Ini akan menjadikan Wilayah Persekutuan lebih berdaya tahan dan lestari pada tahun-tahun yang akan datang,” tambahnya. – WILAYAHKU
[Iklan]