INSTITUT Kerja Raya Malaysia (IKRAM) memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk melaksanakan siasatan dan kajian terhadap keselamatan cerun di Kampung Palimbayam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihak IKRAM akan membuat pemerhatian dengan memasang alatan yang sesuai untuk membuat siasatan terperinci bagi mengetahui tentang keadaan tanah di kawasan itu.
“Kawasan ini berada di cerun yang curam dan sangat berbahaya kepada penduduk, IKRAM akan menggunakan peralatan tertentu untuk menyiasat adakah pergerakan tanah masih berlaku atau sudah berhenti.
“Sekiranya masih berlaku, kita mahu pihak IKRAM membentangkan mengenai pilihan dan juga kaedah terbaik agar DBKL boleh pertimbang untuk dijadikan panduan sebelum mengambil langkah susulan,” katanya kepada Wilayahku selepas melawat kawasan tanah runtuh di Kampung Palembayan dekat Sungai Penchala pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Azmi Abdul Hamid dan Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman.
Menjelas lanjut, Mahadi berkata, daripada pemerhatiannya, pihaknya mendapati ada pergerakan tanah di sebelah atas cerun dimana berlaku runtuhan serta menyebabkan beberapa buah rumah ranap.
“Saya lihat di kawasan tersebut, terdapat sebuah rumah yang terletak di kawasan cerun yang curam dan ada pergerakan tanah. Itu menunjukkan kawasan ini tidak selamat untuk diduduki buat sementara waktu dan DBKL tidak boleh berkompromi dengan soal keselamatan penduduk,” katanya.
Menurut Mahadi, pihaknya akan mengkaji dapatan daripada siasatan serta pengesyoran daripada IKRAM sebelum kerja-kerja baik pulih dilakukan termasuklah pembinaan tembok penahan serta lokasi yang disyorkan.
“Pilihan yang diberikan ini perlukan kajian terlebih dahulu termasuklah kepeluan membina tembok penahan, reka bentuk, saiz dan kedudukannya.
“Kita juga akan melihat sama ada ia melibatkan tanah kerajaan atau persendirian, sekiranya di tanah persendirian, kita kena lihat dari segi perundangan mengenai perkara ini kerana urusan menjaga keselamatan cerun terletak kepada pemilik tanah sendiri,” katanya.
Jelas Mahadi, pihaknya turut akan mengkaji kesesuaian dapatan daripada siasatan itu selain turut menggesa agar IKRAM memberi tumpuan utama masalah di kawasan itu.
“Sebagai contoh, jalan utama ini perlu diteruskan (baik pulih) kerana berbongkah dan rosak teruk dan kos untuk membina semula jalan ini pula terletak di bawah DBKL kerana ia merupakan jalan awam.
“Daripada keadaan itu, kemungkinan ada saliran baharu perlu dibuat dan ia perlu dikenal pasti oleh IKRAM dan kita perlu menunggu keputusan daripada hasil siasaatan mereka,” katanya.
Mahadi berkata, pihaknya akan berbincang dengan pemaju perumahan terdekat, Damansara Country Height untuk membenarkan penduduk menggunakan jalan milik pemaju sementara waktu sebelum jalan utama itu diperbaiki.
“Kita faham sangat-sangat kesukaran penduduk di sini kerana ia merupakan satu-satunya jalan yang ada dan kemungkinan besar pembaikan jalan utama ini mengambil masa.
“Jadi itu mungkin tidak boleh dikompromi oleh penduduk kerana mereka hendak keluar dan masuk atas urusan masing-masing namun pada masa sama, kita tidak boleh berkompromi dengan keselamatan awam.
“DBKL sendiri akan mengadakan perbincangan segera dengan pihak pemaju yang mempunyai hak terhadap jalan tersebut dan saya harap mereka dapat beri pertimbangan yang sewajarnya agar penduduk boleh keluar melalui laluan tersebut,” ujarnya.
Dalam kejadian pada tengah malam itu, beberapa buah rumah ranap selepas berlaku pergerakan tanah yang disebabkan hujan lebat dua hari berturut-turut di Lembah Klang dan telah menyebabkan beberapa penduduk terputus hubungan jalan apabila runtuhan tanah itu turut merosakkan jalan utama. -WILAYAHKU